fb fb fb fb fb

KKM beri perkhidmatan terbaik kepada semua banduan termasuk Datuk Seri Najib - Khairy

(Datuk Seri Najib Razak)

PUTRAJAYA, 13 September- Datuk Seri Najib Razak dihantar semula ke Hospital Kuala Lumpur bagi menerima rawatan susulan berhubung penyakit yang dihidapinya.

Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, rawatan itu termasuk pemeriksaan menyeluruh bagi memastikan bekas perdana menteri itu berada dalam keadaan stabil.

"Hari ini Datuk Seri Najib telah dihantar balik ke HKL sebab saya tidak mahu ada apa-apa pertikaian berkenaan hal ini, jadi beliau telah pun dihantar dan saya pun telah maklum pada Datuk Dr Asmayani, buatlah pemeriksaan yang diperlukan, supaya tidak lagi ada pertikaian berkenaan dengan perkara ini dan bila laporan itu lengkap, ia akan diserahkan kepada Datuk Seri dan jika perlu kita boleh serahkan juga kepada pihak mahkamah supaya tidak ada pertikaian dari segi layanan yang diberikan dan sebagainya," kata Khairy.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penerimaan Anugerah Malaysia Book of Records dan Pelancaran Laporan Record Breaking COVID-19 Vaccination: Public-Private Partnership di Putrajaya.

Khairy Jamaluddin turut menegaskan, Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa memberi rawatan yang terbaik kepada semua banduan di Malaysia termasuk Datuk Seri Najib.

Sementara itu, Khairy turut mengesahkan ubat yang diberikan kepada Datuk Seri Najib semasa menerima rawatan di HKL adalah jenis sama dan dalam senarai ubatan kementerian.

"Saya ingin maklumkan selain kenyataan daripada Tan Sri Noor Hisham Abdullah semalam bahawa isu pertukaran ubat ini, isu yang tidak menggambarkan keadaan sebenar. Datuk Sri Najib diberikan ubat bagi tekanan darah tinggi, tetapi dia diberi ubat generik (ubat yang sama) faham ya, sebelum ini dia ambil ubat yang dibeli daripada hospital swasta, bila dirujuk kepada HKL, kami berikan ubat sama, formula sama tetapi dia bentuk 'generik',"kata Khairy.

Terdahulu, KKM menjelaskan bahawa bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, diberikan jenis ubat yang sama dipreskrib sebelum ini ketika beliau menerima rawatan dalam Hospital Kuala Lumpur (HKL).


(Khairy Jamaluddin pada sidang media Majlis Penerimaan Anugerah Malaysia Book of Records
dan 
Pelancaran Laporan Record Breaking COVID-19 Vaccination: Public-Private Partnership di Putrajaya)

Media Baharu