PUTRAJAYA, 10 Mei - Kementerian Kesihatan (KKM) akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dan agensi lain bagi menghadapi kesan Monsun Barat Daya serta fenomena El Nino.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata kesiapsiagaan di semua kemudahan kesihatan peringkat negeri dan pusat sentiasa berada pada tahap optimum bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
"Kita tengok perubahan haba yang ketara di negara kita. Mereka yang berdepan gejala berkaitan suhu tinggi, kita galakkan datang ke hospital dan jumpa doktor serta dapatkan rawatan segera dan kita juga melakukan edvokasi kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Persatuan Industri Farmaseutikal Malaysia (MOPI), di sini, pada Selasa.
Dalam perkembangan lain, Dr. Zaliha berkata KKM dan MOPI akan memperkukuh kerjasama menerusi perkongsian data bagi perkembangan industri farmaseutikal tempatan sekaligus memberikan perkhidmatan terbaik untuk rakyat.