fb fb fb fb fb

Pengguna rokok elektronik, vape berisiko alami kecederaan paru-paru

PUTRAJAYA, 20 Oktober- Dakwaan penggunaan rokok elektronik atau 'vape' yang kononnya tidak memudaratkan perlu diperbetul.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, penggunaannya boleh menyebabkan kecederaan paru-paru atau 'E-cigarette or Vaping Product Use-Associated Lung Injury' (EVALI).

Jelas beliau, EVALI mula dikesan di Amerika Syarikat pada 2019 dengan 2,800 kes kecederaan paru-paru dan 68 kematian.

Di Malaysia pula, dua kes EVALI dikesan pada 2019, lapan pada 2021 manakala empat kes direkodkan dalam tempoh Jun hingga September lepas.

“EVALI adalah perkara serius dan jangan ada org pertikai EVALI ini, ada sesetengah pihak contohnya pihak industri kata tidak wujud EVALI.

Kita tahu ada bukti saintifik yang vape ini bukan perkara yang datang tanpa mudarat. Kita juga tidak tahu apa yang ada dalam cecair vape itu,” katanya ketika berucap melancarkan Panduan Amalan Klinikal Pengurusan EVALI di sini.  

(Khairy Jamaluddin, Menteri Kesihatan / Foto BERNAMA)

Tambah beliau, erdasarkan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) pada 2019, terdapat kira-kira 1.1 juta pengguna rokok elektronik atau vape di Malaysia.

Jelasnya, terdapat dua kriteria utama yang perlu ada bagi diagnosis EVALI iaitu sejarah pendedahan kepada rokok elektronik atau vape dan terdapat perubahan radiologi pada x-ray atau CT-Scan paru-paru.

“Pengesanan dan rawatan awal boleh diberikan kepada pesakit yang disahkan menghidap EVALI supaya komplikasi jangka panjang dapat dikurangkan dan seterusnya mengurangkan kos rawatan. Anggaran kos bagi merawat seorang pesakit EVALI yang dimasukkan ke hospital selama empat hari adalah sebanyak RM50,297.37,” katanya.

Khairy berkata penggunaan rokok elektronik atau vape juga boleh menyebabkan gejala selain gejala pernafasan seperti kebas anggota badan, berdebar-debar dan halusinasi. 

Media Baharu