fb fb fb fb fb

Cadangan gabung pihak berkuasa air Sarawak satu langkah bijak- CUEPACS

KUALA LUMPUR, 20 Oktober- Cadangan Kerajaan Negeri Sarawak untuk menggabungkan empat pihak berkuasa bekalan air utama di negeri tersebut sebagai sebuah entiti yang akan dikenali Lembaga Air Sarawak disambut baik oleh Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

Menurut presidennya, Datuk Adnan Mat, ia langkah terbaik tingkatkan perkhidmatan dan menjaga kebajikan kakitangan.


(Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Adnan Mat)

"Cadangan kerajaan pimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg itu membolehkan perkhidmatan bekalan air yang menjadi keperluan asas penduduk lebih baik dan dalam masa yang sama dapat menjaga kebajikan warga kerjanya," katanya.

Tambah Adnan, pada mulanya terdapat ura-ura empat agensi yang menguruskan air di Sarawak iaitu Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Lembaga Air Kuching (KWB), Lembaga Air Sibu (SWB) dan Laku Management Sdn Bhd (LAKU) akan diswastakan.

"Ia menimbulkan kebimbangan dalam kalangan warga kerja mengenai nasib mereka sekiranya penswastaan itu berlaku terutama daripada segi kebajikan dan jaminan pekerjaan pada masa akan datang.

"Sudah tentu dalam proses penswastaan akan berlakunya pengurangan daripada sudut manfaat sedia ada serta risiko pengurangan kakitangan.

"Penswastaan sepenuhnya juga dibimbangi akan meningkatkan tarif air pada masa akan datang kerana ia sudah tentu akan bersifat keuntungan sepenuhnya," katanya.

Justeru itu, cadangan Kerajaan Negeri Sarawak mahu mengkaji penubuhan Lembaga Air Sarawak adalah suatu langkah yang bertepatan.

Adnan yakin Kerajaan Negeri Sarawak mampu menjadikan lembaga air tersebut lebih berdaya saing dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat negeri tersebut. Dalam masa yang sama kebajikan kakitangan sudah pasti tetap menjadi keutamaan kerajaan negeri.

Beliau juga mengucapkan setinggi penghargaan kerana Kerajaan Negeri Sarawak sentiasa bersedia menerima pandangan CUEPACS dalam setiap rundingan yang diadakan termasuk dalam isu ini.

Media Baharu