fb fb fb fb fb

KKM luluskan 4,053 permohonan pegawai kontrak ke jawatan tetap tahun ini

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 17 Ogos - Kementerian Kesihatan (KKM) telah meluluskan 4,053 daripada 8,672 permohonan awal ke jawatan tetap bagi tahun ini.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata ia membabitkan pegawai perubatan, pergigian dan farmasi berstatus kontrak.

Jumlah tersebut katanya turut merangkumi 225 calon simpanan.

(Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin)

"Ini adalah penambahan jawatan tetap yang paling tinggi sejak tahun 2016 sejak dasar kontrak ini telah pun dimulakan dan selepas ini kita akan ada sekurang-kurangnya 1,500 jawatan tetap setiap tahun yang akan kita tawarkan kepada pegawai kontrak.

"Kita akan tentukan dasar nanti selepas berbincang dengan SPA samaada mereka yang tidak berjaya boleh memohon semula ataupun tidak tahun depan. Ini perkara yang perlu kita bincang dengan SPA nanti.

"Pandangan saya adalah elok kita bagi peluang kepada mereka untuk memohon semula, tapi kita kena bincang dari segi peraturan dengan SPA jadi bagi mereka yang mungkin tidak berjaya pada tahun ini, mereka boleh cuba sekali lagi," katanya kepada pemberita selepas Persidangan Kemuncak Dasar Kesihatan 2022, di sini, semalam.

Sementara itu, Khairy berkata KKM sedang meneliti serta mempertimbang untuk menyediakan laluan kerjaya kepada individu yang tidak berjaya mendapat jawatan tetap sebagai pegawai perubatan.

Laluan tersebut khususnya kepada pegawai berstatus kontrak yang sedang berkhidmat di KKM.

Pertimbangan itu dibuat selepas sesi perbincangan antara KKM dengan Persatuan Kesihatan Malaysia minggu lalu.

"Mereka terus sebagai pegawai kontrak, tetapi kita cuba pastikan bahawa sekurang-kurangnya mereka dapat insentif yang lebih baik dan mereka juga menerima peluang untuk sambung latihan mereka di peringkat kepakaran dan juga sub kepakaran.

"Jadi, sekurang-kurangnya kalau mereka masih lagi kontrak mereka boleh layak mengambil bahagian dalam latihan kepakaran dan sub kepakaran sepertimana yang saya telah umum sebelum ini," katanya.

Media Baharu