fb fb fb fb fb

KKM laksana perolehan sewaan CT Scan, MRI percepat janji temu

Datuk Lukanisman Awang Sauni

KUALA LUMPUR, 24 Oktober- Kementerian Kesihatan (KKM) akan melaksanakan perolehan perkhidmatan mesin Imbasan Tomografi Berkomputer (CT Scan) dan Pencitraan Resonans Magnetik (MRI) secara sewaan (leasing) dalam usaha untuk mempercepat tempoh janji temu kepada pesakit mendapatkan diagnosis awal kanser.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni memaklumkan, sistem bekerja secara syif bagi pakar perubatan radiologi (klinikal) di 10 hospital yang mempunyai beban kerja tinggi dan waktu menunggu lama akan dilaksanakan.

"Sehingga September 2024, semua hospital negeri dan hospital berpakar utama telah dilengkapi dengan perkhidmatan CT Scan iaitu sebanyak 85 unit dan hospital pakar minor dilengkapi sebanyak 17 unit mesin CT Scan.

"Perkhidmatan MRI pula terdapat di semua hospital negeri dan 24 buah hospital berpakar major yang menjadi lead hospital kepada hospital pakar minor dan tanpa pakar dalam hospital kluster masing-masing," katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian selepas menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kuala Nerus Datuk Dr Alias Razak berkenaan kesan kekurangan mesin MRI dan CT scan terhadap proses untuk pesakit mendapatkan diagnosis awal kanser.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI