KUALA LUMPUR, 10 September - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan pelan jangka panjang bagi mengawal dan membendung beban kos dialisis secara lebih efisien, khususnya untuk pesakit buah pinggang dalam kalangan B40.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, langkah itu termasuk mengoptimumkan peruntukan awam melalui pendekatan pengurusan kos bersepadu dengan pelbagai inisiatif bagi mengurangkan beban pesakit kronik.
Antara inisiatif tersebut ialah memfokuskan penjagaan dalam komuniti, merangkumi aktiviti pencegahan, diagnosis awal, rawatan dan pengurusan penyakit buah pinggang.
“Inisiatif termasuk meningkatkan literasi kesihatan, saringan penyakit buah pinggang kronik, memperbaiki sistem kesihatan digital untuk saringan, pengurusan berkesan di peringkat penjagaan primer, peningkatan dana ubat-ubatan untuk mencegah CKD, pendekatan pelbagai disiplin untuk gaya hidup sihat, pencegahan kecederaan buah pinggang akut, penyediaan kokurikulum kesihatan buah pinggang di sekolah, serta mengehadkan ubat-ubatan tanpa preskripsi yang toksik kepada buah pinggang,” katanya di Dewan Negara, hari ini.
Beliau menambah, usaha turut digerakkan bagi memastikan akses yang saksama dan lestari untuk penjagaan kegagalan buah pinggang.
“Ini termasuk mengukuhkan dasar Peritoneal Dialysis First (PD First Policy), melabur dalam pengukuhan tenaga kerja dalam bidang penjagaan buah pinggang, mempromosikan serta meluaskan program pendermaan buah pinggang, merapatkan jurang pendidikan mengenai penyakit buah pinggang dalam kalangan pekerja kesihatan, memantau beban penyakit buah pinggang dan meningkatkan penyelidikan berkaitan penyakit buah pinggang di Malaysia,” jelasnya.
Selain itu, KKM turut bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) bagi menyediakan bantuan subsidi kos rawatan hemodialisis kepada pesakit miskin atau kurang berkemampuan melalui 138 pusat hemodialisis NGO yang diiktiraf.
“Bantuan subsidi diberikan sebanyak RM100 bagi setiap rawatan hemodialisis dengan tidak melebihi 14 kali sebulan. Suntikan Erythropoietin (EPO) bernilai RM18.50 untuk setiap suntikan juga diberikan kepada pesakit tidak melebihi 13 suntikan sebulan, dengan kos maksimum sebanyak RM240.50. Sebahagian kos lagi ditanggung NGO manakala pesakit hanya perlu membayar tidak melebihi RM10 sebulan,” katanya.
Menurut Datuk Lukanisman, kos rawatan keseluruhan bagi seorang pesakit adalah RM1,640.50 sebulan, dengan subsidi berjumlah RM1,630.50 yang menampung hampir keseluruhan kos rawatan.
Kelulusan subsidi hemodialisis diberikan selama dua tahun dan pesakit boleh memohon memperbaharui bantuan setelah tamat tempoh tersebut.