fb fb fb fb fb

Junior Innovathon 2025 ketengah bakat pelajar dalam bidang STEM

Uji bakat Junior Innovathon 2025 - Foto RTM

KUALA LUMPUR, 10 September - Kementerian Ekonomi selaku penaja utama Program Junior Innovathon 2025 menaruh harapan tinggi agar program ini dapat melahirkan lebih ramai pelajar yang mempunyai minat mendalam terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Pengurus Eksekutif Unit Pengurusan Penyelidikan, Kementerian tersebut, Dr. Ramli Nordin berkata, program ini turut menyediakan ruang kepada masyarakat untuk melihat minat dan kecenderungan murid-murid sekolah terhadap bidang itu..

"Objektif utama kerajaan menaja program ini adalah untuk menyediakan platform kepada pelajar mempersembahkan idea inovasi mereka kepada masyarakat umum. Bukan hanya tertumpu kepada komuniti sains semata-mata.

Kerajaan juga berhasrat untuk membina keyakinan dalam kalangan murid agar mereka lebih berani tampil di hadapan khalayak ramai bagi mempersembahkan idea inovasi mereka," katanya ketika ditemui RTM selepas sesi ujibakat program Junior Innovation di Angkasapuri Kota Media, di sini hari ini.

Tambah beliau, setakat ini terdapat lebih 2,000 penyertaan daripada pelbagai sekolah di seluruh Malaysia.

Daripada jumlah tersebut, lebih 500 peserta telah disenarai pendek, dan akhirnya, 50 peserta terbaik akan dipilih ke peringkat separuh akhir.

Sementara itu, Penerbit Junior Innovathon, Razliza Abdul Razak berkata kriteria utama penilaian dalam uji bakat ini adalah interaksi pelajar, keyakinan diri mereka ketika membentangkan produk serta potensi komersial produk inovasi yang dihasilkan.

"Hal ini sangat penting kerana tidak semua orang, terutamanya pelajar sekolah, berasa selesa atau mesra kamera apabila bercakap. Oleh itu, sesi uji bakat yang diadakan di seluruh Malaysia turut melibatkan penggunaan kamera agar para peserta dapat membiasakan diri.

Sekiranya mereka terpilih ke peringkat saringan separuh akhir nanti, mereka sudah bersedia dan tidak takut menghadapi situasi seperti ini," ujar beliau.

SYUHADA BINTI CHEK HASHIM