fb fb fb fb fb

KP2026 dilaksana di semua Tabika Perpaduan mulai 2026

K.Saraswathy / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 September - Kementerian Perpaduan Negara akan melaksanakan Kurikulum Prasekolah 2026 (KP2026) di semua Tabika Perpaduan mulai Januari 2026.

Langkah itu bertujuan memperkukuh pendidikan awal kanak-kanak berteraskan pendekatan berpusatkan rakyat.

Timbalan Menteri Perpaduan, K.Saraswathy, berkata inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada pelaksanaan menyeluruh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang melibatkan prasekolah kerajaan dan swasta di seluruh negara.

"KP2026 juga telah diuji rintis di 34 prasekolah KPM, lima Tabika KEMAS, tiga Tabika Perpaduan dan lapan tabika swasta.

"Pemantapan kurikulum ini dilakukan berdasarkan dapatan uji rintis dan pandangan pelaksana di lapangan untuk melatih guru prasekolah di agensi kerajaan dan swasta," katanya.

Beliau menjawab pertanyaan lisan, Senator Datuk Mustafa Musa di Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, latihan penataran KP2026 untuk guru Tabika Perpaduan telah bermula sejak Julai lalu dan akan diteruskan sehingga Disember 2025 bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan.

Selain itu, Kementerian Perpaduan Negara turut merancang Program Pembangunan Profesionalisme Guru dan Penolong Guru Tabika Perpaduan secara bersiri bermula tahun 2026 untuk memperkukuh kompetensi tenaga pengajar.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM