SUNGAI BULOH, 13 Mac- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menjalankan perbincangan akhir bersama Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) untuk menetapkan kadar bayaran bagi perkhidmatan perundingan oleh doktor perubatan am (GP) di sektor swasta.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata semakan semula kadar bayaran perundingan itu adalah berlandaskan Jadual 7 Akta 586, yang perlu diselaraskan dengan Jadual 13 yang telah dilaksanakan sejak penggal pertama 2019.
"Kami sedang berbincang dengan DOSM untuk menentukan perkara ini. Buat sementara ini, RM10 hingga RM35 dan kita akan buat pengumuman dalam waktu terdekat,
Beliau menyatakannya kepada media selepas menghadiri program Ziarah Ihsan Ramadan di Hospital Sungai Buloh.
Beliau turut menyampaikan pek makanan kepada kakitangan kesihatan dan pesakit.
Dalam pada itu, beliau telah menerima sokongan dan persetujuan daripada Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) untuk melakukan semakan semula terhadap Jadual 7 itu.
"Saya mendapat sokongan dan pengesahan daripada NACCOL, Perdana Menteri serta Kementerian Kewangan. Jadi, Insya-Allah, dalam masa terdekat saya akan mendapatkannya," tambah Dr. Dzulkefly.