fb fb fb fb fb

KKM beri keutamaan penyediaan aset pengangkutan bagi kawasan berisiko banjir

PASIR MAS, 22 Disember- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memberi keutamaan bagi penyediaan aset pengangkutan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) terutamanya melibatkan kawasan yang berisiko dilanda banjir.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata aset pengangkutan seperti ambulan pacuan empat roda dan lori diperlukan dalam melancarkan tugasan pegawai KKM yang melibatkan penduduk terjejas banjir bagi kes kecemasan.

Menurut beliau, pihaknya menerima permohonan peruntukan lebih RM2.71 juta daripada JKNK bagi pengurusan banjir melibatkan peralatan perubatan, peralatan bukan perubatan dan juga pengangkutan.

“Ada juga permintaan tadi daripada pengarah negeri dan timbalan pengarah iaitu mereka memerlukan pengangkutan contohnya macam lori dan juga ambulan yang pacuan empat roda. Jadi, kita akan cuba usahakan Insya-Allah," kata Zaliha dalam sidang media selepas mendengar taklimat keadaan semasa banjir di Pejabat Kesihatan Daerah Pasir Mas, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Asmayani Khalib dan pengarah JKNK, Datuk Dr Zaini Hussin.


(Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata demikian dalam sidang media di Pasir Mas hari ini)

Mengulas lanjut, beliau berkata pengangkutan merupakan satu keperluan jabatan dalam menjalankan tugasan terutama pada musim banjir.

Justeru, pihaknya akan memberi keutamaan serta memenuhi permintaan tersebut secepat mungkin bergantung pada peruntukan yang ada.

Dalam perkembangan lain, pihaknya turut mengambil langkah proaktif dalam mengenal pasti penduduk terjejas banjir yang
dijangkiti COVID-19 di Pusat Pemindahan Sementara (PPS)dengan melakukan saringan kesihatan.

Media Baharu