KUALA LUMPUR, 17 Disember -Sebanyak 3,220 sampel daging ikan, sayur dan buah-buahan dianalisis sejak Januari hingga September lalu.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, hasil analisis mendapati sebanyak 5.7 peratus daripada jumlah sampel berkenaan gagal mematuhi Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
Menurut beliau bagi produk import, tindakan penguaktkuasaan yang dikenakan terhadap ketidakpatuhan itu adalah arahan penarikan balik produk di seluruh negara, pelupusan, eksport semula dan pendakwaan kes.
"Tindakan tahan uji lepas juga dikenakan pada kemasukan yang seterusnya, larangan pengimportan dikenakan berdasarkan kriteria yang ditetapkan. Bagi produk domestik pula, tindakan penguatkuasaan bagi pelanggaran adalah arahan penarikan balik, pelupusan, siasatan dan tindakan pendakwaan," katanya di Dewan Negara menjawab pertanyaan Senator Datuk Rosni Sohar berhubung jaminan keselamatan daging, ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan di pasar-pasar awam di seluruh negara, memandangkan wujudnya dakwaan risiko bakteria, logam berat, dan penggunaan bahan kimia berbahaya.
Katanya, KKM sentiasa bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Pertanian Malaysia dan Jabatan Perikanan Malaysia dalam memastikan pemantauan dapat dilaksana secara holistik.