fb fb fb fb fb

Buaya 15 kaki ditangkap di Sungai Batang Krian

FOTO IPD SARATOK

SARATOK, 17 Disember - Seekor buaya jantan sepanjang kira-kira 15 kaki berjaya ditangkap dalam satu operasi bersepadu melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sarawak Forestry Corporation (SFC), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta RELA, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Saratok, Timbalan Penguasa Polis (DSP) Mathew Manggie berkata, operasi mengawal dan menangani populasi buaya di kawasan Kampung Kupang dan sepanjang Ulu Sungai Batang Krian itu diaktifkan dari 14 hingga 23 Disember 2025.

Menurut beliau, pada hari pertama operasi, anggaran sebanyak 178 ekor buaya telah dipantau di lokasi berkenaan, namun tiada sebarang tangkapan atau pemindahan berjaya dilakukan.

“Pada hari kedua, sebanyak sembilan umpan diletakkan di beberapa lokasi sepanjang Sungai Krian. Salah satu umpan kemudiannya dibawa lari oleh seekor buaya pada hari ketiga operasi sebelum berjaya dikesan dan ditangkap oleh pasukan bertugas,” katanya.

Buaya yang ditangkap dikenal pasti daripada spesies Crocodylus porosus atau buaya katak dengan anggaran berat antara 300 hingga 400 kilogram.

Bangkai buaya berkenaan seterusnya diserahkan kepada pemburu buaya berlesen untuk tindakan lanjut dan direkodkan mengikut prosedur ditetapkan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE