fb fb fb fb fb

KKM, Kementerian Komunikasi lancar “The Black Mark” perangi tabiat merokok dan vaping

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 4 Jun -Filem pendek The Black Mark dilancarkan sebagai inisiatif untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai bahaya rokok dan rokok elektronik (vape), khususnya dalam kalangan generasi muda.

Filem berdurasi kira-kira enam minit itu ditayangkan menerusi program “Back to Cinema – Sayang Paru-Paru (PaPa)” hasil kerjasama antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Komunikasi.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, mesej utama filem tersebut menekankan peranan ibu bapa dalam membimbing serta memastikan anak-anak tidak terjebak dalam tabiat merokok, khususnya penggunaan vape yang semakin membimbangkan.

“Program seumpama ini adalah inisiatif bersepadu yang cukup kreatif kerana menggabungkan elemen seni visual, kesedaran kesihatan awam dan keterlibatan komuniti dalam usaha mencegah penggunaan rokok termasuk vape dalam kalangan rakyat, khususnya generasi muda,” katanya kepada pemberita.

“Mesej utamanya ialah peranan ibu bapa dalam membimbing serta memastikan anak-anak tidak terjebak dengan tabiat merokok, lebih-lebih lagi penggunaan vape yang kini menjadi kebimbangan utama,” katanya.

Program Back to Cinema dan tayangan filem pendek The Black Mark akan dilaksanakan di beberapa negeri termasuk Kedah, Negeri Sembilan dan Melaka, dengan kerjasama Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM), KKM dan rakan kongsi Inisiatif Kesihatan Paru-Paru Kebangsaan.

Sementara itu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata pihaknya melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) akan membantu menayangkan filem pendek itu sebagai pesanan khidmat masyarakat di pawagam seluruh negara.

“Ini adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan membendung anak-anak kita daripada terjebak dengan rokok dan rokok elektronik.” katanya.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD