HULU TERENGGANU, 4 Jun- Kedaifan hidup lapan sekeluarga yang tinggal di sebuah pondok usang dekat Kampung Paya Besar, Hulu Terengganu mendapat perhatian Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Keluarga itu akan dibantu bagi memiliki kediaman yang lebih selesa yang dilengkapi bekalan air dan elektrik.
Pengarah KKDW Terengganu, Md Razi Md Lazim berkata, beberapa perkara sedang diteliti sebelum menyelesaikan masalah itu secepat mungkin.
Keluarga tersebut hidup berpindah-randah kerana tidak mampu menyiapkan kediaman sendiri. Keadaan itu berlarutan sejak empat tahun lalu, namun keluarga itu tidak dapat dikesan kerana berpindah-randah 20 kali dan tinggal di tempat terpencil.
"Sebelum ini kita tahu memang ada masalah untuk memohon rumah. Jadi kita akan cuba tengok dan apa-apa keputusan nanti akan dimaklumkan dalam masa terdekat," katanya ketika melawat keluarga berkenaan di Hulu Terengganu.
Mat Nasir Ismail, 48 tahun yang menghidap penyakit asma kronik itu berdepan kesempitan hidup bersama-sama isteri, empat anak, menantu serta cucu.
Isterinya, Mazila Mansor, berkata mereka terpaksa berjaga malam kerana keadaan persekitaran yang tidak selamat.
"Tidur malam memang kita tak boleh tidur macam orang lain. Dengan ular, binatang berbisa, bunyi bukit, benda-benda terbang, memang sentiasa berjaga-jaga. Dah kena pun, dengan lipas, haiwan yang menyengat," katanya.
Keluarga itu menerima bantuan tahunan RM1,800 daripada Kementerian Pendidikan serta RM700 sebulan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) untuk keperluan persekolahan anak-anak.