fb fb fb fb fb

KKDW terajui program KAM, 14 projek siap sepenuhnya

FOTO BERNAMA

BAGAN DATUK, 1 Disember - Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menduduki tangga pertama daripada 43 Program Kampung Angkat MADANI (KAM) bagi kemajuan pelaksanaan dan perbelanjaan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, setakat ini sebanyak 14 projek KAM KKDW di Kampung Sungai Betul, Bagan Datuk siap sepenuhnya melibatkan peruntukan RM2.5 juta.

Jelas beliau, pencapaian ini hasil komitmen penuh diberikan agensi bawah kementerian serta Pejabat Tanah dan Daerah Bagan Datuk dalam memastikan projek siap mengikut tempoh ditetapkan.

"Maknanya kementerian yang saya nak produk ini yang saya katakan ini mengambil langkah-langkah proaktif untuk memajukan kawasan tuan-tuan dan puan-puan.

"Terima kasih kepada pegawai dan pegawai kementerian kami di ibu pejabat serta pengarah besar, pengurus besar agensi-agensi KKDW yang melaksanakan dengan segera projek ini untuk disiapkan tahun ini juga," kata Ahmad Zahid.

Beliau yang juga Menteri KKDW berkata demikian ketika berucap pada Majlis Tautan Desa MADANI KKDW KAM 2024 di Kampung Sungai Betul, di sini.

Pada majlis tersebut, beliau turut mengumumkan penaiktarafan Dewan Orang Ramai (DOR) Kampung Sungai Betul. 

Terdapat 14 projek dilaksanakan bawah KAM, KKDW yang melibatkan lapan projek fizikal dan enam projek bukan fizikal.

Antaranya menaik taraf pagar di Beting Beras Basah jalan perhubungan desa dan jalan ladang pertanian, membaik pulih rumah rakyat miskin, titi, dewan orang ramai, padang bola sepak dan surau.

Selain itu, KKDW juga melaksanakan projek bukan fizikal dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perak serta Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi program keceriaan kampung serta pelaksanaan program komuniti.

TETITIA YUSOFF