RAUB, 1 Disember - Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan rakyat di negerinya agar sentiasa merujuk maklumat yang sahih berkaitan amaran cuaca dan situasi banjir ketika ini.
Baginda turut menyarankan pihak bertanggungjawab meningkatkan kekerapan penyaluran maklumat semasa supaya tindakan segera boleh dilakukan penduduk yang berisiko dilanda banjir.
"Minta data yang tepat dan saya harap Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) atau pihak berkuasa pun dapat mengumumkan secara rasmi kerap sedikitlah dan harap semua rakyat dengar laporan yang sah," titah baginda selepas berkenan mencemar duli ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Lechar, di sini.
Dalam pada itu, baginda turut mengingatkan penduduk terjejas banjir sentiasa bersabar menghadapi dugaan itu serta mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa jika diarahkan berpindah.
Turut berangkat Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut hadir, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan pemimpin setempat.
Pada lawatan itu, baginda berkenan mengurniakan sumbangan kepada penduduk terjejas banjir dan melawat fasiliti yang terdapat di PPS berkenaan.
Untuk rekod, daerah Raub mula dilanda banjir sejak malam tadi ekoran hujan lebat berterusan yang menyebabkan seramai 1,062 orang penduduk kini berlindung di 20 pusat pemindahan sementara (PPS).