fb fb fb fb fb

KKDW peruntuk RM38.3 juta bantu aktif semula kebun getah terbiar

Rubiah Wang

KUALA LUMPUR, 7 Oktober- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan RM38.3 juta tahun ini bagi pelaksanaan Program Getah Terbiar (PGT) yang memberi manfaat kepada hampir 8,890 pekebun kecil di seluruh negara.

Timbalan Menterinya, Datuk Rubiah Wang berkata, daripada jumlah itu seramai 218 pekebun kecil di Betong, Sarawak menerima manfaat dengan nilai keseluruhan peruntukan RM1.5 juta.

Beliau berkata, PGT akan terus diperkukuh di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan sasaran mengaktifkan semula 3,100 hektar kebun tidak bertoreh di Sarawak iaitu kira-kira 625 hektar setahun.

"Melalui usaha ini, KKDW menjangkakan pengeluaran getah dapat ditingkatkan secara mampan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang," katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Betong mengenai inisiatif mengaktifkan semula kebun getah tidak bertoreh di Sarawak melalui PGT di Dewan Rakyat, hari ini.

Setakat September 2025, sebanyak 793 hektar kebun telah berjaya diaktifkan semula melalui program berkenaan.

Rubiah turut memaklumkan KKDW sedang menyediakan kertas kerja bagi program peningkatan produktiviti getah untuk memastikan hasil getah per hektar dipertingkat, sekali gus menambah pendapatan pekebun kecil.

Beliau menambah, kaedah jualan berkelompok juga sedang diperluas bagi mengukuhkan kuasa tawar-menawar pekebun kecil dan memastikan harga lebih kompetitif.

SITI AISHAH BINTI MD ISA