KUALA LUMPUR, 7 Oktober - Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius peningkatan jenayah penipuan dalam talian yang kini semakin berani dan sukar dikesan.
Walaupun pelbagai usaha digerakkan, tindakan penguatkuasaan masih berdepan cabaran termasuk kelemahan undang-undang, kekurangan kepakaran, serta kerjasama rentas sempadan yang terhad.
Tegas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, kerajaan telah mengambil beberapa langkah bagi mengekang jenayah penipuan tersebut.
"Bagi mengekang jenayah yang semakin berleluasa ini kerajaan telah mengambil beberapa langkah berikut, antaranya pindaan undang-undang bagi menangani kes jenayah siber.
"Kerajaan telah membuat pindaan ke atas Kanun Keseksaan Akta 574 bagi menangani kes jenayah siber khususnya penipuan kewangan melibatkan penggunaan akaun keldai yang membabitkan peruntukan tambahan iaitu Seksyen 424A, 424B, 424C dan 424D berkenaan kesalahan memiliki, mengawal dan menggunakan kad ATM, kad kredit dan sebarang instrumen pembayaran," jelas beliau ketika menjawab pertanyaan ahli parlimen Sri Aman di Dewan Rakyat, hari ini.
Shamsul Anuar juga turut menegaskan usaha membanteras jenayah siber memerlukan kerjasama bersepadu semua pihak dari aspek perundangan, kepakaran, sehinggalah kepada kesedaran masyarakat.