KUALA LUMPUR, 7 Oktober - Kementerian Kesihatan kini sedang meneliti langkah pengharaman sepenuhnya penggunaan rokok elektronik atau vape di Malaysia.
Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni, cadangan pengharaman itu dijangka akan dibentang ke Jemaah Menteri tahun ini.
Ia sejajar komitmen untuk melindungi golongan muda khususnya daripada ketagihan nikotin.
"Kita menyedari kesan penyalahgunaan vape, di mana sebanyak RM244.8 juta dibelanjakan untuk rawatan.
"Jika keadaan ini berterusan, kita mungkin terpaksa berbelanja lebih RM300 juta hingga RM400 juta kerana tidak mahu berlaku pembaziran akibat penyakit berkaitan vape.
"Oleh itu, kita akan mengemukakan memorandum kepada Jemaah Menteri kepada Kabinet untuk mempertimbangkan pengharaman sepenuhnya, sebagai langkah memulakan dasar dan tindakan pengharaman terhadap vape.
"Saya berharap tindakan ini dapat dilaksanakan segera," katanya.
Penyataan bagi menjawab wakil Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi di Dewan Rakyat di sini.
Beliau turut memaklumkan, Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) telah berkuat kuasa sepenuhnya pada 1 Oktober 2025.
Ia bertujuan mengawal selia semua produk merokok termasuk rokok elektronik dan vape.
Akta baharu itu merangkumi aspek pendaftaran, pengiklanan, penjualan, pembungkusan, pelabelan, kawalan harga dan pengilangan semua produk merokok termasuk cecair rokok elektronik.