fb fb fb fb fb

Dasar kerajaan tegas, tidak benarkan minuman keras dalam acara rasmi - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemui pemberita selepas pelepasan pulang Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini/ RTM

SEPANG, 7 Oktober - Dasar kerajaan adalah tegas untuk tidak membenarkan minuman keras dihidang dalam acara rasmi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak pernah membenarkan sebarang penganjuran acara rasmi yang melibatkan hidangan minuman keras.

Beliau turut mengingatkan jemaah menteri dan seluruh jentera kerajaan agar tidak cuai berhubung isu minuman keras dalam acara kerajaan.

"Penjelasan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) ialah bahawa ini setelah selesai acara rasmi tapi tempat yang sama, majlis sama. Kami telah memberikan peringatan keras pada menteri dan kementerian supaya tidak mengulangi kesilapan ini, walaupun penjelasan itu adalah bahawa program berakhir. Tetapi tidak wajar sama sekali dan bagi pihak kerajaan.

"Saya akan mengingatkan jemaah menteri dan seluruh jentera kerajaan supaya tidak cuai dalam masalah ini," katanya.

Beliau mengulas mengenai isu yang tular baru-baru ini membabitkan satu majlis rasmi yang didakwa menghidangkan minuman keras.

Anwar berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas pelepasan pulang Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN