fb fb fb fb fb

1,000 peserta dijangka hadiri Seminar Lelaki Qawwam Peringkat Kebangsaan 2025

FOTO FACEBOOK Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan "Official"

KUALA LUMPUR 7 Oktober- Seramai 1,000 peserta dijangka menghadiri Seminar Lelaki Qawwam Peringkat Kebangsaan 2025 yang akan berlangsung esok di Dewan Besar Pusat Dakwah Islamiah, Jalan Senawang-Paroi, Seremban, Negeri Sembilan.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee, berkata seminar anjuran JAKIM itu yang akan diadakan dari 8.00 pagi hingga 1.00 tengah hari merupakan sebahagian daripada inisiatif Lelaki Qawwam di bawah Pelan Transformasi Al-Falah.

Ia bertujuan memperkukuh tanggungjawab dan memperkasa kepimpinan lelaki dalam mentadbir diri, keluarga, masyarakat serta negara.

Beliau menjelaskan program itu juga bertujuan meningkatkan kefahaman lelaki mengenai peranan mereka sebagai pemimpin, pelindung dan pembela keluarga, selaras dengan konsep Qawwam yang terkandung dalam Surah An-Nisa’, ayat 34, sekali gus memelihara kesejahteraan keluarga dan membina masyarakat harmonis.

"Seminar Lelaki Qawwam Peringkat Kebangsaan 2025 bakal menghumpunkan kira-kira 1,000 peserta melibatkan Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk, Pegawai Runding Cara Keluarga, Penceramah Kursus Pra- dan Pascaperkahwinan Islam, Guru Takmir, anggota badan beruniform, Du’at al-Falah, penjawat awam serta wakil badan bukan kerajaan (NGO)," katanya dalam kenyatana hari ini.

Majlis turut menyaksikan pelancaran Logo Rasmi Inisiatif Lelaki Qawwam dan 'Podcast Qawwam' sebagai simbol komitmen dan identiti kukuh dalam menyatukan agenda berkenaan di seluruh negara.

Majlis Perasmian Penutup dijangka disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar pada hari yang sama.

SITI AISHAH BINTI MD ISA