KUALA LUMPUR, 7 Oktober - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan sistem digital bagi pemeriksaan dan audit keselamatan (JISA) kenderaan menjelang tahun 2027.
Ia bagi mempertingkat kecekapan pemantauan keselamatan jalan raya membabitkan kenderaan perdagangan.
Jelas Menteri Pengangkutan Anthony Loke, sistem yang sedang dibangunkan akan mengintegrasikan data daripada peranti Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) terus ke dalam pangkalan data JISA.
"Melalui pelaksanaan sistem ini, data daripada GPS akan diintegrasikan terus ke dalam pangkalan data JISA bagi membolehkan pengesanan ketidakpatuhan secara masa nyata, termasuk aktiviti seperti pemanduan melebihi had kelajuan, penyimpangan laluan, dan operasi di luar waktu yang dibenarkan.
"Langkah pendigitalan ini dijangka dapat mempercepatkan pengesanan ketidakpatuhan, meningkatkan keberkesanan pengawasan, dan mengurangkan karenah birokrasi, sejajar dengan aspirasi kerajaan melalui MOT (Kementerian Pengangkutan) untuk mempercepatkan transformasi digital dalam sektor pengangkutan negara," katanya.
Penyataan bagi menjawab pertanyaan wakil Mas Gading, Mordi Bimol di Dewan Rakyat di sini.
Dalam pada itu beliau memaklumkan, sehingga 31 Ogos 2025 sebanyak 7,228 audit JISA dilaksana JPJ di seluruh negara.
Jelasnya, kegagalan memasang sistem GPS pada kenderaan berat antara kesalahan dikenal pasti.
Justeru, beliau menyeru agar syarikat pengendali kenderaan komersial mematuhi syarat berkenaan untuk mempertingkat keselamatan di jalan raya melibatkan kenderaan perdagangan.