(Foto hiasan)
PUTRAJAYA, 9 Februari- Semua jabatan dan agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) perlu manfaatkan teknologi komunikasi dan digital untuk menyalurkan maklumat kepada komuniti luar bandar.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata capaian Internet serta penggunaan telefon pintar boleh digunakan untuk mengumpul data berkaitan kumpulan sasar.
(Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi)
"Saya lihat interaktif melalui data-data yang kemudian di proses, dianalisis secara kritikal oleh agensi dan jabatan dan kementerian adalah suatu bentuk proses membuat keputusan, malah boleh dikongsi dengan kementerian-kementerian lain dalam merangka dasar-dasar yang terkini serta dekat dengan denyut nadi rakyat", katanya ketika berucap dalam Majlis Perhimpunan Bulanan kementerian itu di Putrajaya.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid turut mengingatkan warga KKDW supaya tidak meninggalkan interaksi sesama insan sebaliknya mengaduninya dengan kebijaksanaan seiring perkembangan teknologi dan digital.