BINTULU, 29 Oktober - Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) komited membangunkan kawasan luar bandar di Sarawak menerusi pelbagai program anjuran agensi di bawah kementerian itu.
Timbalan Menterinya, Datuk Rubiah Wang berkata salah satunya adalah melalui agensi Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).
"Peranan dan tanggungjawab KEMAS ini sangat besar kerana banyak memajukan masyarakat luar bandar membuat perubahan dari sudut modal insan luar bandar.
"Banyak program salah satunya program Desa Cerdas untuk mengamalkan gaya hidup sihat," katanya ketika merasmikan Program Desa Cerdas di Rumah Panjang Delan Untar Kuala Serupai di sini hari ini.
Menurut beliau, kementeriannya juga akan memberikan geran tahunan kepada Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) bermula tahun hadapan.
"Tahun hadapan kementerian akan memberi geran tahunan kepada JKKK berdaftar akan disalurkan kepada ketua kaum masyarakat sebanyak RM5,000 setahun," katanya.
Program Desa Cerdas (PDC) anjuran KEMAS dirangka selaras dengan Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB).
Katanya, ia bertujuan membawa perkhidmatan sosial terus kepada masyarakat di peringkat akar umbi selain memberi penekanan penyampaian dasar kerajaan.
Program itu juga memberi penekanan untuk membudayakan masyarakat dengan kehidupan sihat, selamat dan sejahtera dalam komuniti desa.