(Ahmad Zahid Hamidi)
KUALA LUMPUR, 15 Oktober- Seramai 400 anak masyarakat Orang Asli disasarkan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk memasuki universiti awam dan swasta bagi tahun hadapan.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri KKDW, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid berkata, sasaran itu ditetapkan berdasarkan kejayaan mereka memasuki universiti tahun lalu, melebihi sasaran ditetapkan.
Selain itu, beliau turut menyasarkan Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET) diperluaskan kepada komuniti tersebut agar mobiliti sosial mereka dapat dipertingkatkan.
"Tidak ada halangan, kita menggalakkan mereka mengambil apa sahaja kursus.
"Kita (juga) akan menghala arahkan mereka ke kursus-kursus yang mempunyai potensi kerjaya lebih sesuai dengan kehendak pasaran," katanya kepada pemberita di Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Mengulas mengenai pertemuan antara wakil Orang Asli di Gua Musang semalam, beliau berkata, beberapa permintaan sedang diperhalusi pihak kerajaan termasuk mengenai segi pembangunan, prasana dan ekonomi.
"Mereka mahu rumah mereka di bawah PPRT (Program Perumahan Rakyat Termiskin) diperbaiki, dinaik taraf atau dibina baru, (begitu juga dengan kemudahan) air bersih.
"(Jadi), saya fikir adalah sangat adil untuk kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan memberikan kemudahan itu.
"Bagi saya kemudahan fizikal itu kita boleh cari peruntukkan, lebih penting ialah menyasarkan agar taraf hidup mereka dapat ditingkatkan, biarpun mereka di kawasan diperkampungan, serta keterbukaan mereka akan dapat ditambah, ini harus diseimbangkan," katanya.
Menerusi perbentangan Belanjawan 2024, sebanyak RM333 juta diperuntukkan untuk pembangunan masyarakat tersebut.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid memaklumkan bahawa belum ada perbincangan lanjut berkaitan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, Terengganu.
Presiden UMNO itu bagaimanapun tidak menolak kemungkinan akan meletakkan calon yang boleh diterima oleh penduduk parlimen berkenaan.
"(Calon) kita belum fikir lagi, majoriti mereka besar 27,000, tetapi kita tidak pernah takut. Kita akan letakkan calon yang paling sesuai dengan penduduk di situ dan tokoh yang diterima oleh orang Terengganu," tambahnya lagi.
September lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan calon Perikatan Nasional (PN), Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU 15) lalu selepas pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujud unsur rasuah ketika kempen.
(FOTO HIASAN)