PUTRAJAYA, 15 Oktober- Jawatankuasa Pemantauan Bajet akan ditubuhkan dalam masa terdekat bagi menyemak, mendapatkan maklum balas dan memastikan peruntukan Belanjawan 2024 dapat dilaksanakan.
Menurut Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan, jawatankuasa berkenaan diketuai Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dianggotai Timbalan Menteri Kewangan 2, Steven Sim, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican serta beliau sendiri.
"Memastikan pelaksanaan bajet yang besar itu dilaksanakan sebaik mungkin dengan kepantasan yang sesuai agar manfaat kepada rakyat
dan negara boleh dicapai," katanya kepada pemberita selepas Larian Kewangan 2023 anjuran Kelab Perbendaharaan Putrajaya di sini.
Ahmad Maslan berkata penubuhan jawatankuasa itu seiring dengan Rang Undang-Undang (RUU) Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (FRA) yang diluluskan di Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, beliau turut berharap agar peruntukan Belanjawan 2024 yang telah diberikan dapat dilaksanakan oleh kementerian mengikut garis masa ditetapkan.
(Datuk Seri Ahmad Maslan)