fb fb fb fb fb

KKD sentiasa sokong prinsip kebebasan media

Foto Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 1 November- Kesatuan untuk pelakon perlu diwujudkan bagi memperjuangkan kepentingan kebajikan dan penggajian penggiat industri perfileman.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata sehingga kini tiada kesatuan yang terdiri daripada golongan pelakon didaftarkan di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

"Di peringkat Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), templat perjanjian perkhidmatan produksi yang standard sedang dirangka untuk rujukan dan kegunaan syarikat produksi filem tempatan yang mempunyai lesen aktiviti FINAS.

"Inisiatif itu bertujuan untuk menjamin perlindungan kepada pelakon yang baharu mahupun veteran dan pekerja filem tempatan daripada segi bayaran gaji/elaun, perlindungan insurans/ Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), kemudahan perubatan, penginapan, keselamatan dan makan minum sepanjang tempoh mereka terlibat dengan produksi perfilemen di Malaysia," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat di sini.

Jelas beliau, terdapat lebih daripada 50 persatuan perfilemen di Malaysia.

Antaranya Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) dan Persatuan Pekerja Professional Filem Malaysia (PROFIMA).

Dalam pada itu, Fahmi berkata pihaknya sedang mempertimbang untuk mewajibkan semua penyedia perkhidmatan platform media sosial yang beroperasi di Malaysia berdaftar dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Jelas Fahmi, ia wajar dilaksanakan bagi memastikan semua platform media sosial berkenaan memahami dan mematuhi aspek perundangan negara.

Sementara itu, mengenai kawal selia TikTok, Fahmi berkata KKD sentiasa meneliti setiap aspek dalam mencari langkah kawalan paling sesuai berdasarkan kepentingan negara.

"Mulai dari 1 Januari 2023 sehingga 30 September 2023, MCMC dengan kerjasama pihak TikTok telah menurunkan sejumlah 2,783 kandungan di platform itu yang melanggar kesalahan garis panduan yang ditetapkan oleh pihak platform serta atas perlakuan kesalahan di bawah peruntukan undang-undang sedia ada," kata Fahmi.

Selain itu, Fahmi berkata KKD bersama jabatan dan agensi dibawahnya sentiasa melaksanakan strategi komunikasi yang proaktif bagi memberi kesedaran kepada rakyat agar lebih berhati-hati terhadap penipuan dalam talian dan mendapat maklumat hanya daripada sumber yang sahih.

Antara usaha dan langkah yang telah dilaksanakan ialah melalui langkah advokasi dan kesedaran untuk mendidik masyarakat agar lebih berwaspada dengan modus operasi penipuan dalam talian.

Pada masa sama, Fahmi berkata KKD sentiasa menyokong prinsip kebebasan media serta menjamin hak kebebasan bersuara rakyat menurut Fasal 1(a), Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, kebebasan bersuara tidak membawa maksud seseorang individu boleh membuat tohmahan, fitnah, mengeluarkan kata-kata kesat atau kebencian terhadap institusi raja mahupun memperlekehkan agama atau berbaur perkauman.

"Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) tidak pernah bertindak untuk menghadkan kebebasan media selagi mana penggunaan media elektronik tidak melanggar peruntukan perundangan di bawah Akta 588, khususnya di bawah peruntukan Seksyen 211 dan juga Seksyen 233.

"Akta ini hanya terpakai bagi media dalam talian dan tidak merangkumi media cetak.

"Bagi penerbitan bercetak adalah tertakluk kepada Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN)," kata Fahmi.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM