IPOH, 1 November - Kerajaan Perak sentiasa menyokong usaha dan penghasilan produk inovasi dan akan berusaha membantu mengkomersialkan produk baharu tersebut.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, usaha itu akan dilaksanakan dengan kerjasama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi tujuan dipatenkan dan didaftarkan sebelum dapat memasarkannya.
"Anugerah untuk hari kita perlu patenkan dahulu dan sebelum itu kita perlu membuat penambahbaikkan kemudian barulah kita boleh komersialnya, kita akan cari satu GLC untuk mendaftarkan untuk diniagakan," katanya kepada media pada majlis Sambutan Hari Inovasi Peringkat Negeri Perak Tahun 2023 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.
Pada majlis itu, Pusat Penyelidikan Mineral, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) diumumkan sebagai pemenang utama bagi Anugerah Inovasi Menteri Besar (AIMB) dan membawa pulang wang tunai RM50,000 beserta piala iringan.
Kemenangan itu diperoleh melalui melalui projek inovasi teknologi lestari bumi hijau dengan mengitar semula sisa kapur karbida untuk penghasilan kalsium karbonat (PPC) sebagai bahan pengisi dalam pembuatan cat komersial.
Sebanyak sembilan kategori dipertandingkan dalam acara tahunan itu iaitu Anugerah Inovasi Terbuka (AI Terbuka); Anugerah Inovasi Lestari Bumi Hijau (AILBH); Anugerah Inovasi Pejabat Daerah dan Tanah (AIPDT); Anugerah Inovasi Pihak Berkuasa Tempatan (AIPBT); Anugerah Inovasi Institut Pengajian Tinggi (AIIPT); Anugerah Inovasi Akar Umbi (AIAU), Anugerah Inovasi Sekolah Menengah (AISM) dan Anugerah Inovasi Sekolah Rendah (AISR).
Kategori AI Terbuka dimenangi Markas Udara Tentera Laut Diraja Malaysia, Pejabat Daerah dan Tanah Perak Tengah pula menjuarai kategori AIPDT manakala Majlis Daerah Tanjong Malim menang kategori AIPBT.
Kategori AIIPT diungguli oleh Institut Latihan Perindustrian Perak, Persatuan Inventif Bagan Datuk Perak muncul juara bagi kategori AIAU manakala kategori AISM disandang SMK Seri Samudera dan SK Marian Convent Kinta Utara juara bagi kategori AISR.