KUALA LUMPUR, 1 November- Orang ramai menarik nafas lega berikutan tiada kenaikan harga ayam selepas kerajaan melaksanakan pengapungan harga bagi bahan mentah tersebut bermula hari ini.
Tinjauan Bernama di beberapa lokasi di ibu negara mendapati bekalan ayam juga masih banyak dan boleh didapati di setiap premis yang menjualnya.
Seorang pembeli Mustafa Mohammad, 51 yang ditemui meluahkan rasa lega dengan keadaan itu namun pada masa yang sama berharap agar situasi ini berkekalan supaya pengguna tidak merasa terbeban.
“Saya tahu harga ayam telah diapungkan hari ini, risau juga tadi kalau harga ayam naik tapi... Alhamdulillah harga murah dan tiada kenaikan,” katanya ketika ditemui Bernama hari ini.
Seorang suri rumah Fazlina Ismail, 49, turut bersyukur kerana tiada kenaikan harga ayam sekali gus dapat mengurangkan beban rakyat terutamanya golongan B40.
“Alhamdulillah harga ayam di Pasar Chow Kit hari ini tidak naik dan harga di bawah harga siling yang ditetapkan kerajaan sebelum ini iaitu RM9.40. Macam hari ini saya beli beberapa ekor ayam termasuk untuk ahli keluarga yang lain,” katanya.
Sementara itu, beberapa pasar raya utama menjual bahan mentah itu pada harga promosi sekitar RM7.39-RM7.99 sekilogram (kg), jauh lebih murah daripada harga kawalan yang berakhir semalam iaitu RM9.40 kg manakala di pasar pagi dan pasar basah pula rata-rata peniaga meletakkan harga sekitar RM8.90-RM9 bagi setiap kg.
Menurut Amir Shamsuddin, 40, peniaga ayam di Pasar Pagi Kampung Medan, di sini, harga yang ditawarkan kepada pelanggan ketika ini masih murah namun mengakui akan turun dan naik sekitar 20 sen hingga 50 sen sahaja.
“Setakat saya berniaga di kawasan ini, harga paling tinggi pun hanya RM9.90 tapi itu dulu, tambahan lagi kawasan ini terdiri daripada golongan B40 jadi sukar berlaku kenaikan harga yang tinggi,” katanya ketika ditemui hari ini.
Di wilayah utara iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak tiada kenaikan harga jualan ayam malah ada harga yang rendah berbanding jualan terdahulu walaupun penamatan kawalan harga dan subsidi ayam berkuat kuasa hari ini.
Peniaga ayam di Pasar Besar Sena, Perlis, Ali Abdul Khalid, 35, berkata beliau menjual ayam hari ini pada harga RM9 sekilogram dan tidak mengenakan cas pemotongan ayam kepada pembeli.
Di Kedah, di Pasar Besar Alor Setar ayam dijual antara RM7.70 hingga RM9.40 sekilogram.
Rosmawati Romli, 44, berkata sebagai peniaga kecil beliau bergantung kepada harga yang diperoleh dari pembekal dan berharap harga ayam tidak melambung terlampau tinggi.
Peniaga di Perak, Zulsyazmi Mohd Zulkefli, 32, berkata setakat ini beliau belum memikirkan untuk menaikkan harga bagi penjualan ayam digerai miliknya
“Kalau hendak diikutkan harga RM9.40 sekilogram ayam ini telah ditetapkan sejak 2019 dan kekal hingga hari ini. Cuma saya rasa tiada keperluan lagi untuk menaikkan harga,” katanya.
Sementara itu, di wilayah selatan juga menunjukkan pembeli turut lega dengan harga yang ditetapkan antara RM7.50 dan RM9.20 sekilogram.
Suri rumah, Siti Munirah Ismail, 42, berkata beliau sangat berpuas hati dengan harga yang ditawarkan oleh peniaga, bagaimanapun, pengguna harus bijak berbelanja kerana harga ayam ini tidak menentu.
Di Pasar Besar Seremban, Negeri Sembilan peniaga Ayam Segar Marina, Shahril Rashid, 60, berkata beliau masih mengekalkan harga yang sama iaitu RM9.40 kerana tidak mahu membebankan pelanggannya terutamanya pembeli golongan B40.
Seorang pekerja sambilan Nayla Ali, 29, berkata beliau lega apabila tidak berlaku kenaikan mendadak berikutan penamatan subsidi dan kawalan harga ayam yang berkuat kuasa hari ini.
Bagi wilayah timur seperti Pahang, Terengganu dan Kelantan juga tiada kenaikan malah masih mengekalkan harga tersebut dan pelaksanaan pengapungan harga ayam tidak memberi kesan kepada peniaga.
Peniaga Rohaili Mohd Ali, 63, ketika ditemui berkata beliau masih mengekalkan jualan ayam RM9.40 sekilogram memandangkan harga yang diperoleh daripada pembekal juga masih sama iaitu RM7.40 sekilogram.
Sementara itu di Sabah, suri rumah Sapariah Sinin, 53, melihat harga ayam dijual di Pasar Besar Kota Kinabalu masih kekal ketika ini, namun berharap kawalan masih dilakukan bagi memastikan harga ayam berpatutan dan tidak dijual terlalu mahal memandangkan kos sara hidup semakin tinggi.- BERNAMA