fb fb fb fb fb

KKD peruntuk RM3 juta untuk DKD Sabah dan Sarawak

(FOTO BERNAMA)

KUCHING, 15 September- Kementerian Komunikasi dan Digital, KKD memperuntukkan sejumlah RM3 juta untuk Dana Kandungan Digital (DKD) kepada pemain industri kreatif di Sabah dan Sarawak.

Ia bagi menggalakkan penerbitan kandungan kreatif yang berkualiti selain untuk tujuan pembangunan bakat dan kemahiran serta merangsang kreativiti dan inovasi. Pada masa sama mewujudkan peluang pekerjaan di kedua-dua negeri.

Menterinya, Fahmi Fadzil ketika mengumumkan perkara itu berkata, diskaun sebanyak 20% turut diberikan untuk sewaan dan kemudahan fasiliti penggambaran di FINAS selama enam bulan mulai hari ini.

Jelas beliau, sekiranya mendapat sambutan dan kandungan kreatif yang dihasilkan mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa, kementerian akan melanjutkan tarikh permohonan dana dan diskaun tersebut.

Beliau berucap pada Majlis Perasmian Program Fast Track How To Be A Content Creator di Auditorium FINAS Cawangan Sarawak Kuching hari ini.

Pada majlis itu Fahmi turut menyempurnakan pelancaran Studio Sound Stage di FINAS Cawangan Sarawak sebagai usaha menyokong pertumbuhan industri kreatif di rantau ini.

Studio tersebut dilengkapi dengan peralatan terkini dan fasiliti yang memenuhi piawaian antarabangsa untuk menghasilkan karya seni visual yang berkualiti tinggi.

Fahmi mengalu-alukan semua penggiat industri kreatif untuk menjadikan studio itu untuk menyerlahkan kreativiti untuk mencipta idea inovatif.


(FOTO BERNAMA)

Media Baharu