fb fb fb fb fb

KKD komited perkasa keselamatan data, elak insiden kebocoran data

FOTO BERNAMA

PUTRAJAYA, 16 Disember- Satu audit keselamatan siber perlu dilakukan bagi menjamin keselamatan data pengguna di negara ini.

Menurut Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil kelemahan dalam ekosistem perlu dikenal pasti untuk memastikan tiada lagi insiden pencerobohan dan kecurian data terus berlaku.

Jelasnya, data memainkan peranan penting untuk masa depan negara dan dilihat sebagai khazanah negara yang perlu dijamin keselamatannya.

"Kita perlu laksanakan audit keselamatan siber. Saya sebagai Menteri KKD akan memainkan peranan paling hadapan untuk melihat, menilai dan membantu kementerian serta agensi lain dalam memastikan aspek keselamatan siber ini diberi perhatian.

Saya tidak mahu melihat lagi wujud insiden kebocoran atau kecurian data daripada jabatan atau kementerian. Kita perlu perkasakan keselamatan data kita," kata Fahmi semasa berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 Menteri Komunikasi dan Digital, di sini.

Tambahnya, beliau turut menasihati orang ramai yang menjadi mangsa penipuan dalam talian supaya menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 untuk melaporkan kecurian wang dalam tempoh 24 jam.

Pihaknya juga akan bekerjasama dengan lebih erat dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengatasi isu penipuan dalam talian di negara ini.


(Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil ditemui pemberita di Putrajaya
hari ini)

Media Baharu