fb fb fb fb fb

KKD kenal pasti beberapa agensi adakan Persidangan Meja Bulat Sekuriti Siber Malaysia-Singapura

(Foto Fb Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil)

KUALA LUMPUR, 30 Januari- Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) mengenal pasti beberapa agensi yang akan diberikan keutamaan untuk menganjurkan Persidangan Meja Bulat Sekuriti Siber Malaysia-Singapura yang akan diadakan setiap tahun dalam usaha mempertingkatkan keselamatan siber.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata ini adalah satu langkah positif dan diharap akan bermula pada tahun ini.

“Sidang meja bulat tersebut belum lagi dibentuk dan saya akan menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN yang berlangsung di Filipina pada 8 dan 9 Februari depan untuk bertemu dengan menteri-menteri komunikasi dari negara ASEAN dan beberapa rakan yang lain.

“Saya berpendapat ini merupakan langkah selanjutnya dalam hubungan di rantau ASEAN, khusus antara Malaysia dan Singapura diharap akan bermula tahun ini dan diadakan setiap tahun,” katanya kepada media selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang perlindungan data peribadi, keselamatan siber dan ekonomi digital di The Istana, Singapura, hari ini.

Fahmi berkata antara hubungan yang akan dipertingkatkan dalam bidang keselamatan siber termasuk pertukaran maklumat tentang analisa, pengalaman dan panduan yang boleh disebutkan sebagai hasil daripada serangan siber dan insiden-insiden melibatkan keselamatan siber.

“Ini kerana kita lihat sekarang ini ‘threat actors’ (pelaku serangan siber) yang hampir setiap minggu berusaha untuk membolos pengkalan data tetapi isunya...kita masih tidak mengenal pasti mereka ada di mana. Ini antara perkara yang kita akan tingkatkan kerjasama antara kedua-dua negara,” katanya.


(Majlis menandatangani MoU dalam bidang perlindungan data peribadi,
keselamatan siber dan ekonomi digital di The Istana, Singapura, hari ini/JPM)

Sementara itu, mengenai ekonomi digital, Fahmi berkata ia melibatkan kepada pertukaran maklumat mengenai amalan terbaik terutamanya digitalisasi, piawaian yang boleh dikendalikan (interoperable standards) dan teknologi baharu.

“Kita mahu pelajari apa yang dicapai terutama daripada segi kawal selia di Singapura dan kita berharap hubungan Singapura dan Malaysia akan lebih rapat dan erat menerusinya,” katanya.

Selain itu, KKD juga akan bersama-sama meningkatkan, mempromosi serta menyokong usaha untuk meningkatkan e-dagang serta ekonomi digital secara keseluruhan, ia tidak hanya terlibat kepada tanda tangan eletronik, pengesahan, rekod boleh pindah elektronik dan rangka kerja invois elektronik.

“Ini adalah satu langkah yang sangat positif, KKD akan menyambut Menteri Komunikasi dan Informasi Singapura apabila mereka membuat kunjungan hormat ke Malaysia pada 4 Februari ini diikuti dengan program muzika extravangza yang akan disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Fahmi berkata Malaysia dan Singapura akan bersama-sama menyediakan ‘ASEAN Cross Border Data Flow Mechanism Under Asean Framework of Digital Data Governance’ (Mekanisme Aliran Data Rentas Sempadan ASEAN di bawah Rangka Kerja Tadbir Urus Data Digital ASEAN) serta bertukar maklumat mengenai isu-isu yang penting.

“Ini yang kita teliti sekarang ini terutama melibatkan ‘scam’ (aktiviti penipuan) atau isu kecurian data yang mungkin berlaku bukan sahaja dalam negara tetapi merentas sempadan,” katanya.

Mengenai isu kesesakan sempadan pula, Fahmi memberitahu KKD akan membantu melihat dan menilai sistem digital dalam mempercepatkan proses dan menyelesaikan masalah kesesakan di sempadan yang dialami oleh rakyat Malaysia untuk merentasi sempadan.- BERNAMA

Media Baharu