HULU LANGAT, 3 Januari - Kira-kira RM970 juta diperlukan Kementerian Kerja Raya bagi kerja pemulihan dan pembersihan melibatkan kawasan terjejas banjir di seluruh negara.
Menurut Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, ia melibatkan kerja baik pulih di jalan persekutuan dan jalan di bawah Kerajaan Negeri membabitkan 895 lokasi yang telah dikenal pasti.
Jelas beliau, secara keseluruhan, ia merangkumi infrastuktur seperti jambatan, jalan raya dan cerun .
"Untuk jambatan yang terputus ini melibatkan 14 buah rumah yang terputus hubungan sekarang ini dan Alhamdulliah dengan kerjasama diantara JKR dan Angkatan Tentera Malaysia, maka Jambatan Bailey siap dibina, dengan komitmen JKR, para kontraktor dan sebagainya, kita mengharapkan dapat disiapkan dan lewat petang ini atau pun selewatnya pagi esok." katanya selepas membuat tinjauan pemasangan siap Jambatan Compact Bailey di Batu 19, Jalan Sungai Lui, di sini.
Sementara itu, beliau menjelaskan, dana sebanyak RM30 juta diperlukan bagi menambah komponen jambatan bailey sebagai persediaan awal risiko banjir pada masa depan.
Dalam perkembangan sama, Fadillah memaklumkan penduduk terjejas banjir akan menerima pembinaan Rumah Kekal Banjir.
Setakat ini pihaknya masih menunggu perincian lanjut kaedah pelaksanaan rumah tersebut.