fb fb fb fb fb

Kira-kira 18,000 tetamu hadir ke Rumah Terbuka Aidilfitri Sultan Johor

JOHOR BAHRU, 23 April- Rumah Terbuka Aidilfitri Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah di Istana Besar Johor dihadiri kira-kira 18,000 rakyat pelbagai latar belakang hadir bermula 9.00 pagi hingga 1.00 tengah hari tadi.

Pengunjung menunggu seawal 7.00 pagi di pagar istana dan teruja menghadiri rumah terbuka berkenaan, selepas tiga tahun tidak diadakan.

Sultan Ibrahim tiba di istana pada pukul 10.00 pagi dan meluangkan masa lebih sejam untuk bertemu rakyat.

Kali terakhir rumah terbuka ini dianjurkan ialah pada tahun 2019 di Istana Pasir Pelangi.

Menurut suri rumah Azalila A. Samad, "Sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP) pun ada juga, tapi saya rasa ini tahun kedua. Sebelum ini buat bukan dekat sini tetapi di istana lain. Tapi pada saya, setiap kali Sultan adakan rumah terbuka saya mesti datang, sebab suasana memang meriah."

Bagi Mohd Shafie Abdullah yang datang daru Kluang, "kami datang ke sini untuk rumah terbuka Sultan Johor. Jadi, suasana di sini agak seronok dan ini merupakan yang pertama kali saya datang ke sini. Saya tidak pernah rasa keadaan ini, dan ini juga merupakan pengalaman pertama buat keluarga saya."

Seorang ahli Geologis yang ditemui, Low Wan Ching yang juga pertama kali datang rumah terbuka Sultan Johor berasa "sangat gembira sebab saya datang dari Kuala Lumpur. Nampak ramai orang ramai dan pelbagai jenis makanan disediakan. Tempat ini sangat cantik dan saya rasa sangat bertuah. Saya juga tidak menunggu lama untuk masuk ke istana, sekitar 10 minit sahaja."

Tidak ketinggalan pelajar pertukaran dari Turku, Finland Linda Broere, "ini merupakan kali pertama saya berada di Johor. Ianya sangat seronok kerana makanan yang pelbagai dan semangat yang ditunjukkan.

"Selain itu ia juga sesuai untuk dihadiri bersama kawan-kawan dan berkenalan dengan kenalan baru. Ini juga merupakan pertama kali saya menyambut Hari Raya Aidilfitri, dan ia merupakan pengalaman yang sangat seronok."

Sultan Ibrahim turut diiringi Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat dan barisan exco kerajaan negeri.

(Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Onn Hafiz Ghazi)

Media Baharu