NEW DELHI, 21 Februari- Program Kenali India (KIP) anjuran Kementerian Hal Ehwal Luar India, selama tiga minggu yang turut disertai wakil RTM dapat memupuk hubungan lebih rapat antara belia diaspora India dan tanah air nenek moyang mereka, sekali gus meningkatkan pemahaman peserta tentang India.
Menurut wakil penganjur, Pn. Sushma Pegawai di Suruhanjaya India Malaysia, KPI adalah program yang dianjurkan khusus untuk belia diaspora India di seluruh dunia.
"Ia adalah program yang bukan hanya memperkenalkan India kepada duta muda yang dipilih malah menjadi medium perbincangan dua hala mengenai negara masing-masing. Setiap duta muda akan berkongsi maklumat mengenai negara masing-masing.
Menerusi program tersebut, peserta KIP diberi peluang menelusuri sejarah dan budaya India sebagai sebuah tamadun serta kemajuan dan pencapaian India moden merentas bidang ekonomi, industri, pendidikan, sains dan teknologi, telekomunikasi, teknologi maklumat, dan sains angkasa.
Para peserta turut berpeluang melibatkan diri dalam lawatan sambil belajar ke institusi dan organisasi yang merangkumi kedua-dua sektor swasta dan awam.
Lawatan tersebut juga berfungsi sebagai platform untuk para peserta mendapatkan pandangan mendalam serta terlibat dalam interaksi bermakna dengan pakar-pakar berkaitan. Ia juga merupakan sesi dua hala, di mana duta muda dari setiap negara memperkenalkan negara masing-masing.
Menerusi edisi ke-73 yang berlangsung dari 4 sehingga 24 Februari, seramai 39 orang peserta dari pelbagai negara terlibat antaranya dari Fiji, Myanmar, Trinidad@Tobago, Suriname, Mauritius, Afrika Selatan. KIP dianjurkan sejak tahun 2003.
Wakil penganjur di India, Muhammad Dawood pula berkata, KIP adalah program amat bermanfaat kepada peserta.
“Kami mahu memperkenalkan India kepada duta muda yang mewakili negara masing-masing. India antara negara populasi terbesar di dunia mempunyai nilai-nilai amat berharga untuk dikongsi kepada dunia luar. Saya sangat yakin matlamat pennganjuran tercapai berdasarkan komitmen para peserta ini,” katanya kepada RTM.
“KPI bukan sekadar program memperkenal India kepada para peserta, tetapi kami juga mendapat pelbagai maklumat dan pengetahuan berguna daripada peserta termasuk perkara berkaitan budaya, sosial dan cara hidup masyarakat, kata seorang lagi wakil penganjur,” Ruchi Sinha.
Bagi Sivam Tamilselvam, wakil Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang turut menyertai KIP, program tersebut katanya telah memberikan satu pengalaman baharu yang cukup berharga.
"Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan India (Suruhanjaya India di Kuala Lumpur) yang menganjurkan program ini serta kepada Kementerian Komunikasi, khususnya RTM yang memberi peluang kepada saya untuk mengambil bahagian dalam program ini," katanya.
Selain melawat salah satu daripada tujuh keajaiban dunia, Tajmahal, Sivam dan peserta-peserta program turut dibawa melawat ke kediaman rasmi Presiden India, Rashtrapati Bhavan yang terletak di pusat bandaraya New Delhi dan 'Rajghat' iaitu Memorial Mahatma Gandhi.
“Banyak pengetahuan mengenai India saya ketahui melalui program ini termasuk negara para peserta. Dari sebuah negara di Pantai Atlantik Utara Amerika Selatan, saya berpeluang memperkenalkan negara saya kepada peserta lain, kata peserta dari Guyana, Dr. Davindra Lalltoo.
“Kami dapat berkongsi pengalaman dan pengetahuan menerusi program ini. Peserta muda dari Malaysia, Sivam bercerita tentang negara Malaysia dan tugasnya di RTM. Saya juga berkongsi tentang kehidupan di Mauritius, negara Kepulauan Hindi yang memiliki pantai dan lagun menarik,” kata peserta dari Mauritius,” Nilasha Soocoormanee kepada RTM.
Shastria Wanisha Narain dari Suriname pula berkata menerusi KIP, dia dapat mengenali negara seperti Malaysia dan Mauritius secara lebih dekat daripada penduduknya sendiri.
“Saya berasal dari sebuah negara kepulauan kecil di pantai timur Amerika Selatan yang dikategorikan kawasan hutan hujan tropika yang luas, memiliki seni bina kolonial Belanda dan budaya “melting-pot” (Kepelbagaian latar belakang agama, etnik, bahasa dan budaya).
"Melalui KIP saya dapat tahu tentang beberapa negara lain seperti Malaysia dan Mauritius. Pada masa yang sama kerajaan India telah mengatur pelbagai program dan lawatan supaya kita dapat mengetahui lebih lanjut tentang negara ekonomi ke-5 terbesar itu,” kata Narain.
“Saya dari Afrika Selatan, negara Mahatma Ghandi tinggal selama 21 tahun. Sekarang saya di India dan apabila saya melawat tugu peringatannya, emosi saya agak terganggu. Melalui KIP ini kami juga mengenali banyak maklumat tentang India terutamanya kepelbagaian masyarakat dan ekonomi negara,” Punita Pravin Chaganlal Patel.