fb fb fb fb fb

RM29 juta diperuntuk, naik taraf bangunan KEMAS yang uzur

Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi

GUA MUSANG, 21 Februari- Hampir RM29 juta telah diperuntukkan kerajaan kepada Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) untuk tujuan naik taraf bangunan tabika yang uzur di seluruh negara pada tahun ini. 

Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi berkata jumlah peruntukan tambahan itu meningkat tiga kali ganda berbanding RM9.5 juta setahun sebelum ini. 

Menurut beliau, perbelanjaan besar itu usaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Kementerian Kewangan untuk menambah baik prasarana pendidikan awal, sejajar dengan hasrat membangunkan modal insan berkualiti. 

Antara negeri yang diberi tumpuan untuk kerja naik taraf premis tabika adalah Kelantan, Sabah dan Sarawak. 

"Bagi pihak KEMAS, kami mengucapkan terima kasih kepada Menteri Kewangan iaitu YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meluluskan peruntukan tambahan pada KEMAS. Biasanya, KEMAS mendapat setahun RM9.5 juta. Namun, Alhamdulillah pada 2024 kita telah diluluskan hampir RM29 juta untuk menaik taraf bangunan-bangunan yang daif di seluruh negara dan akan kita buat secara berperingkat."

"Daripada segi perancangan, kita sudah menurunkan peruntukan kepada KEMAS negeri dan mereka telah ada senarai. Insya-Allah, kerja-kerja naik taraf akan dibuat oleh pihak negeri," kata Datuk Ahmad Kamal kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi KEMAS Gua Musang di Dewan Datuk Ariffin Said, Ibu Pejabat Kesedar di Gua Musang, Kelantan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain beliau memberitahu, Kemas akan melaksanakan program Pra Tahfiz di 4,147 kelas tabika di seluruh negara tahun ini. 

Katanya, sebelum ini sebanyak 100 tabika di seluruh negara telah menjadi perintis kepada pelaksanaan program Pra Tahfiz, yang bermula tahun lalu. 

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM