KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta golongan petani digalakkan memanfaatkan kemudahan perkhidmatan kewangan digital bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan daya saing, selaras dengan agenda keterangkuman ekonomi bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Profesor di Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya, Prof. Dr. Nurul Shahnaz Ahmad Mahdzan berkata, langkah tersebut sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memperluas penggunaan teknologi kewangan dalam kalangan rakyat.
"Ini adalah peluang yang baik sebab dengan penggunaan kewangan digital contohnya sesiapa saja dapat menggunakan perkhidmatan kewangan dengan mudah segala-galanya menerusi aplikasi telefon.
"Tetapi perlu digunakan dengan bijak dan bermanfaat. Contohnya cara pengurusan kewangan menggunakan aplikasi digital kewangan. Segala transaksi itu direkod dan amat mudah untuk menjejaki perbelanjaan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas ditemui pemberita selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.
Golongan itu juga digalakkan untuk memanfaatkan kemudahan tersebut termasuk pembiayaan mikrokredit dan skim takaful perlindungan tanaman bagi meningkatkan daya saing serta mengurangkan risiko kerugian.
RMK-13 dijangka menjadi pemangkin kepada keterangkuman kewangan negara, dengan teknologi kewangan berperanan besar dalam memastikan akses yang adil dan meluas kepada semua rakyat.