fb fb fb fb fb

Lebih RM4 juta pembiayaan MySTI, bantu syarikat tempatan tembusi pasaran kerajaan

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohammad Yusof Apdal

KUALA LUMPUR, 11 Ogos -Lebih RM4 juta pembiayaan telah diluluskan bawah inisiatif Malaysian Science, Technology and Innovation (MySTI) bagi membantu syarikat tempatan menembusi pasaran kerajaan, setakat Julai tahun ini.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, jumlah itu merangkumi RM3.92 juta untuk 33 projek bawah Dana Uji Beli MySTI-DUB dan RM783,800 bagi dua projek bawah Dana Mudah Cara MySTI-DMM.

"Sehingga kini, sejumlah RM3.92 juta telah diluluskan bagi 33 projek di bawah DUB, manakala RM783,800 disalurkan kepada dua projek di bawah DMM yang melibatkan pelbagai kementerian dan agensi," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat.

Beliau turut memaklumkan bahawa ratusan produk tempatan telah berjaya mendapat pengiktirafan MySTI yang merangkumi pelbagai sektor strategik negara.

"Setakat Julai 2025, sebanyak 507 barangan R&D tempatan telah berjaya menerima logo MySTI yang meliputi pelbagai sektor seperti kesihatan, pertanian, teknologi maklumat, peranti perubatan dan alam sekitar. Ini menunjukkan peningkatan kepercayaan terhadap hasil inovasi tempatan dan komitmen kerajaan dalam mengiktiraf sumbangan penyelidik, usahawan, teknologi dan syarikat setaraf tempatan," katanya lagi.

Menurut beliau, MOSTI melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memperkukuh visibiliti produk MySTI, termasuk pavilion di acara berimpak tinggi seperti ASEAN Summit, promosi menerusi saluran radio TraxxFM, serta 61 sesi libat urus bersama kementerian, agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan kerajaan negeri hingga 30 Julai lalu.

MOSTI juga membangunkan sistem direktori dalam talian pada 23 Jun lalu, manakala Kementerian Kewangan mengeluarkan dokumen pindaan baharu PK 1.4 bagi memperkukuh dasar barangan dan perkhidmatan tempatan dalam perolehan kerajaan.

Langkah itu katanya, memastikan hasil penyelidikan tempatan terus diutamakan dalam proses perolehan kerajaan, sekali gus meningkatkan daya saing inovasi negara.

TETITIA YUSOFF