fb fb fb fb fb

'Aku Kasih Malaysia' semarak cinta negara sempena Bulan Kebangsaan & Hari Malaysia

Datuk Dr. Roslan menyatakan program Bicara Kenegeraan yang melibatkan lebih sejuta rakyat Malaysia menjadi fokus utama Program Aku Kasih Malaysia anjuran AKM

 

KUALA LUMPUR, 11 OGOS - Program Aku Kasih Malaysia bakal menjadi pemangkin kepada pengukuhan semangat patriotisme dan perpaduan nasional dalam kalangan rakyat menjelang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025.

Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Datuk Dr. Roslan Hussin berkata, program Bicara Kenegaraan melibatkan penyertaan sejuta rakyat Malaysia yang telah bermula sejak Ogos hingga 16 September menjadi fokus utama.

“Kita akan berbicara apa itu kenegaraan, apa itu keperluan untuk menjaga keharmonian negara ini, apa itu keperluan untuk menjaga tata susila sebagai rakyat Malaysia bagi memastikan negara kita ini akan terus kukuh, akan terus dihormati oleh orang lain dan akan terus melonjakkan negara kita sebagai negara tempat tinggal yang terbaik,” katanya ketika ditemui selepas program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri.

Jelas beliau lagi, matlamat penganjuran Aku Kasih Malaysia adalah untuk menanam dan menyemai perasaan cinta kepada negara melalui tiga pendekatan iaitu pemahaman fakta sejarah kemerdekaan, penanaman rasa kecintaan dalam hati, serta penterjemahan cinta melalui tindakan positif seperti mengibarkan Jalur Gemilang dan menghargai simbol negara.

Menurutnya, program ini bukan sahaja menyasarkan generasi muda, malah semua lapisan masyarakat bagi memastikan rakyat memahami bahawa kemerdekaan adalah anugerah dan nikmat yang wajar dipertahankan.

“Saya melihat tahap kecintaan rakyat Malaysia kepada negara ini sangat tinggi. Ungkapan ‘I Love Malaysia’ sepatutnya menjadi bibir seluruh rakyat, sekali gus menjadi benteng mempertahankan keamanan negara daripada anasir yang boleh merosakkannya,” jelasnya.

Beliau turut menyatakan bahawa program berbentuk kenegaraan akan terus dilaksana di seluruh negara, sama ada di pusat latihan mahupun komuniti, bagi memastikan mesej perpaduan dan kecintaan negara terus memberi kesan jangka panjang kepada perpaduan nasional.

NORZAINAH ZAINAL ABIDIN