fb fb fb fb fb

Persiapan ANCM ke-19 dalam fasa akhir - TLDM

Laksamana Muda Datuk Pahlawan Fadzli Kamal Mohaldin

KUALA LUMPUR, 11 Ogos - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kini berada pada fasa persiapan akhir bagi memastikan penganjuran Mesyuarat Panglima Tentera Laut Negara ASEAN (ANCM) ke-19 dan ASEAN Multilateral Naval Exercise (AMNEX) berlangsung dengan lancar dari 15 hingga 22 Ogos.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja ANCM ke-19, Laksamana Muda Datuk Pahlawan Fadzli Kamal Mohaldin berkata, ia akan menghimpunkan Panglima Tentera Laut dari 10 negara ASEAN bersama satu jemputan dari Timor-Leste, disertai 10 kapal laut tujuh daripada negara ASEAN dan tiga daripada TLDM.

"Selain mesyuarat utama, acara turut merangkumi AMNEX yang melibatkan sesi perbincangan di pelabuhan sebelum latihan di laut, serta ASEAN Fleet Review di Swettenham Pier. Kapal-kapal terlibat akan melakukan pelayaran lintas hormat sebelum meneruskan latihan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.

Dalam usaha mendekatkan masyarakat kepada institusi ketenteraan laut, kapal perang yang berlabuh akan dibuka untuk kunjungan awam.

Mengulas objektif penganjuran, beliau berkata ANCM menjadi platform rasmi perkongsian maklumat, pandangan dan inisiatif antara negara ASEAN dalam menjaga keselamatan serta kedaulatan maritim.

"Kita sedar wujudnya ancaman seperti jenayah rentas sempadan, lanun, rompakan di laut, perubahan cuaca ekstrem, misi mencari dan menyelamat, bantuan bencana dan kemanusiaan. Justeru, kerjasama serantau ini amat penting untuk memastikan keamanan di perairan ASEAN sentiasa terpelihara," katanya lagi.

Beliau berharap penganjuran kali bukan sekadar memperkukuh hubungan diplomatik dan ketenteraan antara negara ASEAN, malah memberi peluang rakyat mengenali lebih dekat peranan TLDM dan tentera laut antarabangsa dalam menjaga kestabilan maritim.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI