fb fb fb fb fb

Khidmat kaunseling di PPS, bantu pulihkan emosi penduduk terjejas banjir

TUMPAT, 22 Disember- Lebih 100 kaunselor ditugaskan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Semenanjung dalam membantu pemulihan emosi penduduk terjejas banjir.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri, sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang reaksi negatif daripada inisiatif tersebut.

Katanya, kesemua penduduk terjejas banjir redha dengan dugaan bencana ini selain faktor perkhidmatan yang disediakan kerajaan amat memuaskan.

Ia merangkumi ketersediaan bekalan asas di PPS termasuk dari segi makanan, minuman, kebersihan serta keselesaan

"Selepas musibah ini reda, mereka akan pulang ke rumah bagi melakukan pembersihan dan sebagainya. Di PPS ini, saya lihat segala prosedur dijalankan dengan amat baik, bekalan makanan dan keperluan asas mencukupi.

Kanak-kanak pun suka duduk di sini, kita ada sediakan mainan untuk mereka berhibur," kata Nancy kepada pemberita RTM selepas melawat keluarga mangsa renjatan elektrik di Kampung Bendang Surau, Morak, di sini.

Katanya, tujuan kunjungan ke rumah tersebut untuk memberi sokongan moral dan menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban keluarga mangsa renjatan elektrik.


(Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri melawat
dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa renjatan elektrik di Kampung Bendang Surau)

Media Baharu