fb fb fb fb fb

Khairy zahir penghargaan pemisahan kembar siam pramatang

KUALA LUMPUR, 21 Mac - Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menzahirkan penghargaan kepada pasukan kepada pasukan pembedahan Hospital Tunku Azizah (HTA), atas kejayaan pemisahan pasangan kembar siam pramatang, Daelan Hope Marshall dan Daevyn Hope Marshall pada 19 Mac lalu.

Khairy mengucapkan tahniah kepada pakar-pakar pembedahan yang diketuai Pakar Perunding Pembedahan Kanak-Kanak HTA Datuk Dr Zakaria Zahari, pakar-pakar bius dan kesemua jururawat serta pembantu perubatan yang terlibat, dalam pembedahan selama 66 minit itu.

“Ini merupakan pembedahan kembar siam ketiga yang telah berjaya dilaksanakan oleh HTA sejak ia dibuka,” menurut catatan Khairy di Facebook.

Khairy turut mengucapkan tahniah kepada ibu bapa bayi tersebut, Deborah Anne M. Vincent Paul serta David Marshall, atas kelahiran pasangan kembar berkenaan.

Terdahulu, Khairy diiringi Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, melawat Daelan dan Daevyn serta ibu bapa mereka di HTA dan turut berkongsi gambar lawatan tersebut.

(Pasukan 13 doktor pakar, 20 jururawat dan staf dewan bedah kanak-kanak HTA yang terbabit menjayakan pembedahan bayi kembar siam semalam/FOTO FB HTA)

Pembedahan pasangan kembar berkenaan dilaksanakan dengan jayanya membabitkan 13 doktor pakar termasuk enam pakar bedah kanak-kanak dari seluruh negara, berserta hampir 20 jururawat dan staf dewan bedah kanak-kanak.

Akibat komplikasi ‘extrauterine twin to twin transfusion’, pakar-pakar HTA dan HRPB memutuskan supaya kedua-dua bayi itu dipisahkan pada usia 17 hari.

Bayi kembar itu dilahirkan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh pada usia 33 minggu kandungan, sebelum kes dirujuk kepada HTA.

Semalam HTA melakar sejarah apabila pasangan kembar siam pramatang seberat 2.7 kilogram (kg), yang pertama di Malaysia berjaya dipisahkan.

Dr Zakaria yang mengetuai pembedahan semalam berkata, pasangan kembar siam jenis Omphalophagus itu berjaya dipisahkan dalam masa 66 minit tanpa komplikasi utama dan didapati berkongsi bahagian hati, manakala organ lain didapati normal.

Media Baharu