fb fb fb fb fb

Kerajaan perlu masa selesai kes saman berkaitan pencen menerusi proses mediasi

KUALA LUMPUR, 21 Mac - Kerajaan memerlukan masa untuk cuba menyelesaikan kes saman difailkan sekumpulan 35 individu terdiri daripada bekas anggota badan kehakiman serta tujuh balu bekas hakim berhubung kegagalan kerajaan menetapkan kenaikan sewajarnya dalam pencen dan faedah yang mereka terima sejak 2015 melalui proses mediasi.

Mereka termasuk bekas Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff, bekas Hakim Besar Malaya Tan Sri Siti Norma Yaakob dan Tan Sri Haidar Mohamed Nor serta bekas Hakim Mahkamah Rayuan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof, yang juga bekas Speaker Dewan Rakyat.

Mereka menamakan kerajaan, Perdana Menteri, Jemaah Menteri dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam sebagai defendan.

Peguam Christopher Leong, yang mewakili bekas hakim selaku plaintif, berkata pada prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh secara dalam talian hari ini, mahkamah menetapkan 26 Mei untuk pengurusan kes selanjutnya bagi defendan memaklumkan sama ada mereka bersetuju untuk cuba menyelesaikan kes itu secara mediasi.

“Pada pengurusan kes hari ini, Peguam Persekutuan M. Kogilambigai (yang mewakili defendan) memaklumkan mahkamah bahawa mereka memerlukan masa kerana perlu berbincang dengan pihak berkepentingan yang lain. Kami (plaintif) tidak mempunyai bantahan untuk memberikan lebih banyak masa kepada defendan,” katanya.

Pada 14 Feb lepas, mahkamah mencadangkan pihak terbabit menyelesaikan kes itu melalui proses mediasi dan plaintif bersetuju.

Saman yang difailkan pada 24 Jan lepas itu menyaksikan plaintif memohon deklarasi kegagalan menetapkan peratusan kenaikan lebih tinggi daripada dua peratus setiap tahun yang sesuai bagi pencen dan faedah lain untuk setiap plaintif mengikut Seksyen 15B(2) Akta Saraan Hakim 1971 (Akta 45) melalui perintah dalam Warta melanggar Perkara 125(7) dan 125(9) Perlembagaan Persekutuan.

Mereka memohon perintah bahawa defendan kedua atau ketiga (Perdana Menteri dan Jemaah Menteri) hendaklah menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menetapkan peratusan kenaikan lebih tinggi daripada dua peratus setiap tahun yang sesuai ke atas pencen dan faedah lain diberikan kepada setiap plaintif berkuat kuasa dari 1 Julai 2015 mengikut Seksyen 15B(2) akta tersebut.

Plaintif berkata mengikut Seksyen 15B Akta Saraan Hakim 1971, pencen hakim bersara dan orang tanggungan hakim yang telah meninggal dunia diselaraskan secara automatik berdasarkan gaji semasa hakim masih berkhidmat yang disemak secara berperingkat dari semasa ke semasa sebagaimana yang wajib dilakukan mengikut Perkara 125(7) dan 125(9) Perlembagaan Persekutuan. - BERNAMA

Media Baharu