fb fb fb fb fb

Khairy umum jadi ahli UMNO Sungai Buloh

(Tangkap layar TikTok @bnsungaibuloh)

SUNGAI BULOH, 25 Disember- Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan beliau menjadi ahli UMNO bagi bahagian Sungai Buloh iaitu kawasan yang ditandinginya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Khairy yang merupakan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau itu memaklumkan perkara tersebut menerusi perkongsian video berdurasi 2 minit 50 saat di akaun TikTok 'BN Sungai Buloh', hari ini.

"Semalam, saya buat carian di sistem keahlian UMNO. Alhamdullilah, nama saya keluar pada bahagian Sungai Buloh," katanya pada satu majlis di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Saujana Utama, di sini.

Dalam majlis sama, beliau turut memaklumkan, keputusan berpindah tersebut diambil kerana mahu menyelesaikan urusan yang tertangguh, selain mahu menjadikan Sungai Buloh sebagai kubu buat Barisan Nasional (BN).

"Saya datang bukan hanya untuk bertanding dan kalah, kemudian terus hilangkan diri. Saya kekal di sini sehinggalah kita menang Parlimen Sungai Buloh.

“Saya tidak suka tinggalkan begitu sahaja dan saya rasa tidak adil kepada tuan-tuan dan puan-puan, saya datang ke sini sebagai calon bidan terjun berprofil tinggi, bila tidak menang lepas itu terus cabut cari tempat lain,” katanya.

Tambah Khairy, keputusan untuk berhijrah di bahagian tersebut telah dibincangkan terlebih dahulu dahulu dengan Ketua UMNO Bahagian Sungai Buloh, Datuk Megat Firdouz Megat Junid dan pemimpin bahagian lain termasuk Datuk Harison Hassan.

Pada PRU lalu, Khairy yang memperoleh 48,250 undi dalam perebutan kerusi Parlimen Sungai Buloh tewas dengan perbezaan majoriti 2,693 undi kepada calon Pakatan Harapan (PH), Datuk R Ramanan (PKR) yang meraih 50,943.


(Tangkap layar TikTok @bnsungaibuloh)

Media Baharu