KUALA LUMPUR, 23 Julai - Keuntungan yang diperoleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan dilaburkan semula bagi tujuan penyelenggaraan, naik taraf serta penambahbaikan sistem bekalan tenaga negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof di Dewan Rakyat hari ini.
Ini mengambil kira kapasiti tenaga boleh baharu, serta sistem grid yang perlu dinaiktaraf untuk kegunaan bersama.
"Kita beri komitmen, tenaga sekarang tenaga bersih dan tenaga boleh baharu, segala keuntungan akan dilabur balik untuk meningkatkan sistem grid dan penyampaian kepada rakyat dan tenaga yang mampu dibiayai rakyat", katanya pada sesi Dewan Rakyat.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengenai keuntungan yang diperoleh TNB serta impaknya kepada rakyat.
Mengulas lanjut, sebagai sebuah syarikat tersenarai awam, TNB perlu terus menjana keuntungan bagi memenuhi keperluan pemegang saham.
Ini termasuk agensi pelaburan milik rakyat seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) serta pencen.
Pada suku kedua 2024, kadar keuntungan bersih TNB melonjak kepada RM1.44 bilion berbanding RM327.9 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.