PUTRAJAYA, 23 Julai – Ucapan “Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia” oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencerminkan tekad Kerajaan Perpaduan untuk terus menjaga kebajikan rakyat secara menyeluruh dari kampung ke bandar, penjawat awam hingga ke petani.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, ucapan itu menjadi bukti bahawa Malaysia MADANI bukan sekadar slogan, tetapi gerakan nasional yang menyatukan seluruh rakyat untuk menjayakan reformasi demi masa depan negara.
“Ucapan ini menyatukan semua pihak untuk terus fokus pada pembaharuan menyeluruh demi masa depan anak cucu kita,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menambah, Perdana Menteri berjaya menanam keyakinan bahawa reformasi fiskal sedang berjalan atas landasan yang betul dengan sokongan rakyat sebagai nadi utama.
“Tegas pada dasar, jelas pada hala tuju,” katanya.
Jelasnya, prestasi ekonomi negara terus menunjukkan pencapaian positif dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama 2025 mencecah 4.4 peratus, manakala unjuran suku kedua dijangka 4.5 peratus. Malaysia turut naik 11 anak tangga ke kedudukan ke-23 dalam Indeks Daya Saing Dunia 2025 dan ringgit mengukuh lima peratus kepada RM4.23 berbanding dolar Amerika Syarikat.
“Kejayaan ini bukan hanya angka atas kertas. Ia membuka ruang luas kepada pelaburan, peluang kerja dan dasar sosial yang menyasarkan rakyat terbanyak,” katanya lagi.
Sebagai anak Sarawak, Datuk Seri Fadillah turut menzahirkan penghargaan terhadap dasar menyeluruh kerajaan yang memberi tumpuan kepada luar bandar.
“Kenaikan harga lantai padi, insentif getah dan program akar umbi seperti Sejati MADANI menjawab keperluan rakyat luar bandar,” katanya.
Antara inisiatif yang diumumkan termasuk peluasan Program Kampung Angkat MADANI ke 200 kampung dan sasaran 1,000 Sekolah Angkat MADANI menjelang akhir 2025. Program Jualan Rahmah MADANI juga diperluas ke 600 Dewan Undangan Negeri di seluruh negara.
Sebagai Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), beliau berkata penyusunan semula subsidi tenaga dan tarif elektrik memberi manfaat terus kepada rakyat.
“Mulai Julai, 85 peratus rakyat bayar bil elektrik lebih rendah sehingga 14 peratus, manakala subsidi RON95 akan disasarkan dengan harga diturunkan kepada RM1.99 seliter,” jelasnya.
Menurut beliau, penjimatan subsidi tersebut akan disalurkan semula kepada rakyat, bukannya kepada warga asing.
“Ini bukti bahawa reformasi tidak semestinya membebankan. Ia memberi keadilan dan kelegaan kepada majoriti rakyat,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan pengumuman cuti umum tambahan pada 15 September 2025 sempena sambutan Hari Malaysia.
“Dari kampung ke bandar, dari Semenanjung ke Borneo – semua rakyat berhak menikmati kemajuan yang adil dan saksama,” katanya.