KUALA LUMPUR, 23 Julai – Struktur tarif elektrik baharu yang diumumkan kerajaan baru-baru ini disifatkan memberi kesan positif kepada pengguna, selain membuka ruang lebih luas kepada perkembangan teknologi tenaga boleh diperbaharui seperti solar di Malaysia.
Menurut Pengarah Urusan Gading Kencana, Datuk Muhamad Guntor Mansor Tobeng, struktur tarif baharu itu bukan sahaja lebih telus, malah bersifat mendidik, kerana mendorong pengguna agar menggunakan tenaga secara lebih cekap.
“Tarif baharu ini sangat bagus. Pertama, ia menggalakkan penyimpanan elektrik. Semakin sedikit penggunaan, semakin tinggi insentif yang diterima. Sebagai contoh, pengguna yang menggunakan kurang daripada 600 kilowatt jam (kWh) sebulan boleh menerima insentif sehingga negatif 20 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media, hari ini.
Pengarah Urusan Gading Kencana, Datuk Muhamad Guntor Mansor Tobeng
Mengulas mengenai tenaga solar, Muhamad Guntor berkata, potensi teknologi tersebut semakin besar, terutama bagi membantu pengguna mengurangkan kos tenaga dalam jangka panjang.
“Peluang kini lebih besar berbanding dahulu kerana ia membuka ruang kepada teknologi baharu. Selain solar, kita juga boleh guna teknologi bateri untuk penyimpanan lebih tinggi. Ini memberikan kesan positif dari segi penjimatan dan rebat kepada pengguna,” jelasnya.
Beliau turut menyambut baik pelaksanaan sistem Kadar Mengikut Waktu Penggunaan (TOU) dalam struktur tarif baharu, yang membolehkan pengguna merancang penggunaan elektrik mengikut waktu tertentu dengan lebih bijak.
Menurutnya, caj elektrik akan dikenakan lebih tinggi pada waktu puncak, iaitu antara pukul 2 petang hingga 10 malam, manakala caj lebih rendah dikenakan pada waktu luar puncak.
“Inisiatif ini memberi peluang kepada pengguna mengubah tabiat penggunaan tenaga, seterusnya menyumbang ke arah sistem tenaga yang lebih mampan,” ujarnya.