fb fb fb fb fb

Ketua Pengarah Maritim Malaysia terima pangkat Laksamana Maritim

Upacara pemakaian pangkat disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail/ Maritim Malaysia

KUALA LUMPUR, 12 Disember- Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah secara rasmi menerima pemakaian pangkat Laksamana Maritim, berkuat kuasa hari ini.

Upacara itu disempurnakan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam satu majlis ringkas di Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Maritim Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan pangkat berkenaan mencerminkan pengiktirafan tertinggi KDN sepanjang kerjaya Mohd Rosli dalam Perkhidmatan Awam dan sebagai Ketua Pengarah Maritim Malaysia.

Beliau turut menyatakan komitmen untuk terus menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pengarah agensi itu dengan membawa reformasi kepada perkhidmatan dan pengoperasian Maritim Malaysia.

"Teras Tujuh yang saya perkenalkan selepas dilantik memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah Maritim Malaysia diharap akan memperkasakan Maritim Malaysia dan terus cemerlang seiring visi Maritim Malaysia untuk menjadi agensi penguatkuasaan maritim terbaik di dunia menjelang 2040.

"Penganugerahan pangkat ini adalah amanah besar yang akan saya pegang dengan penuh tanggungjawab demi kemajuan Maritim Malaysia.

"Saya bertekad untuk terus memperkukuhkan keupayaan operasi Maritim Malaysia dan memastikan keselamatan serta kesejahteraan perairan negara, sekali gus membina kepercayaan rakyat terhadap agensi ini," menurut kenyataan itu.

Beliau turut menyatakan komitmen untuk terus menjalankan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak bagi meningkatkan keupayaan Maritim Malaysia dalam menghadapi cabaran yang semakin kompleks di perairan negara.

Mohd Rosli merupakan Ketua Pengarah Maritim Malaysia ketujuh selepas dilantik pada 17 September lalu.

Sebelum ini beliau merupakan Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI