fb fb fb fb fb

Kementerian Komunikasi bakal tambah baik internet di PPS

Foto BERNAMA

KUALA TERENGGANU, 12 Disember- Kementerian Komunikasi akan mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi menambah baik kemudahan internet di semua pusat pemindahan sementara (PPS) dengan segera.

Menterinya, Fahmi Fadzil, berkata mesyuarat bersama semua syarikat telekomunikasi (telco) akan diadakan bagi meneliti dan menyelesaikan masalah tersebut.

Menurut Fahmi, pihak kementerian menyedari bahawa apabila jumlah penduduk di PPS terlalu ramai, kelajuan dan liputan internet menjadi perlahan.

Masalah itu akan diatasi dengan meminta syarikat-syarikat telco menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) bagi meningkatkan keupayaan liputan di kawasan PPS yang memerlukan.

"Ada telco yang telah menggunakan AI untuk mengenal pasti pergerakan penduduk. Sekiranya terdapat ramai pengguna di sesuatu kawasan, mereka boleh secara automatik meningkatkan liputan di situ.

"Jadi, kita minta supaya PPS diberi keutamaan apabila ia diaktifkan. Saya minta semua telco berusaha ke arah sistem yang lebih automatik seperti ini," katanya selepas menyantuni Komuniti MADANI dan menyampaikan Bantuan Pasca Banjir Ihsan Komuniti MADANI kepada mangsa banjir di Pulau Kambing, di sini.

Bantuan yang diberikan melibatkan lebih 100 penerima, termasuk 22 penerima dalam kalangan warga Kementerian Komunikasi seperti Jabatan Penyiaran Terengganu, BERNAMA, dan Jabatan Penerangan Terengganu.

"Pada saya, aktiviti seperti ini memberi sedikit rasa syukur kepada Allah SWT, walaupun terkena musibah banjir. Kementerian turun padang memberi sumbangan yang menjadi pemangkin semangat untuk saya terus bekerja," kata penerima bantuan dari RTM, Mohammad Aiman Yusoff.

"Syukur dan terima kasih kepada Kementerian Komunikasi kerana cakna dan prihatin terhadap penduduk terjejas banjir dalam kalangan warga kementerian. Bantuan ini sedikit sebanyak meringankan kerugian," ujar penerima bantuan dari BERNAMA, Mohd Taha Yaacob.

"Ucapan terima kasih kepada Menteri Komunikasi kerana sudi turun padang memberikan bantuan kepada rakan-rakan yang terlibat. Ini satu penghargaan kepada penjawat awam," kata penerima bantuan dari Jabatan Penerangan, Badri Jusoh.

Bantuan yang disalurkan berbentuk wang tunai antara RM500 hingga RM1,000, mengikut kategori kerosakan dan keperluan.

Pada program tersebut, Fahmi turut mengumumkan dana sebanyak RM12,000 akan disalurkan kepada 12 Komuniti MADANI di Terengganu.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM